Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pada 28 Mac 2019 telah mengeluarkan kenyataan amaran mengenai penemuan vaksin Mencevax ACWY yang dipalsukan di Republik Niger. Vaksin Mencevax ACWY digunakan untuk mencegah Meningitis Type A, C, W dan Y. Semakan Vaccine Lot Release mendapati vaksin Mencevax ACWY dengan nombor kelompok yang dinyatakan dalam kenyataan amaran tersebut tidak pernah diimport untuk kegunaan rakyat Malaysia. Kali terakhir vaksin Mencevax ACWY diimport oleh Malaysia adalah pada Julai 2017. Walau bagaimanapun, status pendaftaran vaksin tersebut telah pun luput pada 31 Mei 2018 dan vaksin tersebut tidak lagi berdaftar dengan Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD).

Sumber foto: WHO Medical Product Alert No. 5/2019

Sumber foto: WHO Medical Product Alert No. 5/2019
Bermula 1 Januari 2015, PBKD telah mensyaratkan Vaccine Lot Release dijalankan sebelum vaksin yang diimport dibenarkan untuk dipasarkan. Aktiviti ini adalah penting bagi memastikan produk vaksin di pasaran adalah berkualiti, selamat dan berkesan. Maklumat vaksin yang telah diberikan sijil Lot Release boleh diperolehi daripada laman sesawang https://www.npra.gov.my
KKM memandang serius isu vaksin yang dipalsukan. Pemeriksaan dijalankan dari masa ke masa untuk memastikan tidak ada produk vaksin yang dipalsukan di pasaran. KKM juga mengingatkan hospital swasta dan klinik swasta untuk membeli stok bekalan vaksin daripada pembekal-pembekal yang berlesen sahaja dan tidak terpedaya dengan mana-mana pihak yang menawarkan vaksin dengan harga yang lebih murah daripada harga pembekal yang berlesen.
Orang awam boleh menghubungi NPRA di talian 03-78835400 sekiranya terdapat vaksin yang meragukan.
DATUK DR NOOR HISHAM BIN ABDULLAH
Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia
Merangkap Pengerusi PBKD
Kementerian Kesihatan Malaysia
12 April 2019
Categories: Press
You must be logged in to post a comment.