Communicable disease

Kenyataan Akhbar KPK 22 Mei 2019 – Berita Palsu Mengenai Jangkitan Monkeypox Menular di Malaysia

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) ingin merujuk kepada berita yang tular melalui media sosial mengenai kejadian monkeypox yang didakwa berlaku di Johor dan Kuala Lumpur. Untuk makluman sehingga kini, tiada kes monkeypox dikesan atau dilaporkan berlaku di Malaysia. Melalui laporan daripada pihak Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), kes monkeypox terkini yang dilaporkan adalah di Singapura pada 9 Mei 2019 lalu, di mana ianya hanya melibatkan seorang warganegara Nigeria yang datang ke Singapura pada 28 April 2019 bagi menghadiri bengkel. Ia merupakan kes pertama dilaporkan di Asia. Langkah-langkah pencegahan dan kawalan ketat telah dan sedang dijalankan oleh Kementerian Kesihatan Singapura bagi mengurangkan risiko penularan penyakit tersebut, termasuk kuarantin ke atas 23 orang yang mempunyai sejarah kontak rapat dengan kes bagi pemantauan status kesihatan mereka. Tiada rakyat Malaysia yang dilaporkan oleh pihak Kementerian Kesihatan Singapura menjadi kontak kepada kes monkeypox itu.

monkeypoxVirus monkeypox ditularkan kepada manusia melalui gigitan atau sentuhan langsung dengan darah binatang atau cecair badan dan luka haiwan yang dijangkiti. Virus ini boleh disebarkan melalui titisan pernafasan. Virus monkeypox ini juga boleh disebarkan melalui kontak langsung dengan cecair badan orang yang dijangkiti atau dengan objek yang tercemar virus, seperti tempat tidur atau pakaian. Tempoh inkubasi biasanya antara 6 hingga 21 hari. Pesakit akan mengalami gejala selama dua (2) hingga empat (4) minggu. Tanda dan gejala  jangkitan adalah demam, keletihan, sakit kepala serta ruam makulopapular yang bermula di muka kemudian menyebar ke tapak tangan dan tapak kaki, diikuti oleh bahagian-bahagian tubuh yang lain. Tiada rawatan atau vaksin khusus untuk jangkitan monkeypox. Kemungkinan transmisi jangkitan dari manusia ke manusia adalah terhad.
150511 - Monkeypox
Penyakit monkeypox telah dilaporkan di kawasan hutan hujan tropika di Afrika Tengah dan Barat sejak tahun 2005. Negara di kawasan ini adalah Republik Demokratik Congo, Republik Congo, Cameroon, Republik Afrika Tengah, Nigeria, Ivory Coast, Liberia, Sierra Leone, Gabon dan Sudan Selatan. Ia dianggap endemik di Republik Demokratik Congo (DRC), dengan lebih daripada 1,000 kes disyaki setiap tahun. Nigeria telah melaporkan wabak monkeypox yang besar pada tahun 2017 hingga 2018.

KKM akan terus memantau status terkini kejadian monkeypox melalui maklumat terkini daripada pihak WHO. Selain dari itu, penekanan diberikan kepada anggota kesihatan mengenai pemantauan kes yang disyaki monkeypox di Malaysia. KKM juga ingin menasihati pelancong yang ingin pergi ke kawasan-kawasan yang melaporkan kejadian monkeypox di Afrika Tengah dan Barat untuk mengambil langkah berjaga-jaga dengan:
1. Mengekalkan kebersihan diri yang tinggi, termasuk mencuci tangan yang kerap selepas pergi ke tandas atau apabila tangan kotor;
2. Mengelakkan daripada sentuhan langsung dengan luka pada mereka yang dijangkiti, sama ada manusia mahupun haiwan, serta objek yang mungkin tercemar dengan cecair tubuh kes, seperti pakaian yang kotor yang digunakan oleh orang yang dijangkiti;
3. Mengelakkan daripada bersentuhan dengan haiwan liar atau memakan dagingnya; dan
4. Pelancong  yang tiba dari kawasan yang terdapat jangkitan monkeypox dan mengalami gejala penyakit ini dalam tempoh 3 minggu selepas meninggalkan kawasan tersebut dinasihatkan supaya segera mendapatkan rawatan di fasiliti kesihatan terdekat. Maklumkan kepada doktor yang merawat mengenai sejarah perjalanan tersebut.

KKM sekali lagi ingin menegaskan bahawa tiada kejadian kes monkeypox dikesan atau dilaporkan berlaku di Malaysia. Orang ramai diingatkan supaya tidak menyebarkan maklumat atau berita palsu yang boleh menimbulkan keresahan masyarakat. KKM telah mengeluarkan surat makluman kepada fasiliti kesihatan bagi memberi makluman umum pengendalian kes dan juga Soalan Lazim (Frequently Ask Questions – FAQ) mengenai jangkitan monkeypox bagi rujukan orang umum untuk menjelaskan lagi mengenai penyakit ini. FAQ ini boleh dimuatturun dari facebook CPRC di https://web.facebook.com/kkmcprc/posts/ .

Sekian, terima kasih.

DATUK DR. NOOR HISHAM BIN ABDULLAH

Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia

22 Mei 2019