Press

Kenyataan Akhbar KPK 28 Mei 2019 – Produk Bernilai RM 180,000 Dirampas dalam Operasi Serbuan ke atas Klinik dan Farmasi Haram Warga Bangladesh

Satu operasi serbuan bersepadu telah dijalankan pada 26 Mei 2019 oleh Bahagian Penguatkuasaan Farmasi Ibu Pejabat Kementerian Kesihatan Malaysia bersama Bahagian Penguatkuasaan Farmasi Jabatan Kesihatan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya ke atas klinik dan farmasi haram yang didalangi oleh pendatang asing warga Bangladesh. Serbuan telah dijalankan hasil daripada risikan terperinci ke atas dua buah premis di kawasan sekitar Lebuh Pudu dan Jalan Silang, Kuala Lumpur.  Serbuan yang sama telah dijalankan pada tahun 2018 ke atas lima premis haram melibatkan warga Bangladesh di kawasan yang sama.

Serbuan 1Serbuan 2Serbuan 3Serbuan 4

Nilai keseluruhan produk yang dirampas dianggarkan sebanyak RM180,080 dan risikan awal mendapati kebanyakan produk dan ubat tersebut telah diseludup dari Bangladesh dan India. Bagi mengaburi mata pihak berkuasa, modus operandi mereka telah ditukar di mana produk-produk tersebut disorok, disimpan dan diselindungkan di tempat-tempat yang sukar diakses di sebalik pelbagai produk makanan dan barangan am termasuklah mengubah waktu operasi mereka dengan hanya lebih aktif pada hari minggu.

Penjualan produk kesihatan yang tidak berdaftar adalah melanggar Peraturan 7(1)(a), Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984 dan mereka yang didapati bersalah boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM 25,000 atau penjara tidak melebihi 3 tahun atau kedua-duanya untuk kesalahan pertama dan denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak melebihi 5 tahun atau kedua-duanya untuk kesalahan berikutnya.

Orang awam boleh menyemak status dan nombor pendaftaran MAL sesuatu produk melalui laman sesawang http://npra.moh.gov.my ATAU dengan menghubungi Bahagian Regulatori Farmasi Negara di talian 03-78835400 di samping memastikan label Hologram Meditag pada pembungkusannya.  Selain itu, orang ramai juga boleh memuat turun aplikasi NPRA Product Status daripada Google Play Store bagi menyemak status pendaftaran produk tersebut.

Sebarang aduan berkaitan produk tidak berdaftar boleh disalurkan kepada Program Perkhidmatan Farmasi, KKM melalui laman sesawang http://www.pharmacy.gov.my ATAU melalui portal Sistem Pengurusan Aduan Agensi Awam (SisPAA) di alamat http://moh.spab.gov.my. ATAU mana-mana Cawangan Penguatkuasaan Farmasi yang berdekatan ATAU melalui talian 03-78413200 agar tindakan sewajarnya dapat diambil bagi membanteras penjualan produk ini di pasaran.

 

Datuk Dr Noor Hisham bin Abdullah

Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia

28 Mei 2019

 

 

Categories: Press

Tagged as: