Press

Kenyataan Akhbar KPK 30 Mei 2019 – Situasi Terkini Rabies di Sarawak

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) ingin memaklumkan terdapat satu (1) kes disyaki rabies melibatkan seorang lelaki berumur 26 tahun dari Kuching, Sarawak yang kini dirawat di Wad Penyakit Berjangkit, Hospital Umum Sarawak (HUS).

Kes ini mempunyai sejarah menerima dua (2) ekor anjing daripada seorang kenalan media sosial pada bulan Mac 2019. Status imunisasi rabies kedua-dua ekor haiwan ini tidak diketahui. Beliau pernah dicakar oleh anjing-anjing ini ketika bermain dan tidak mendapatkan sebarang rawatan bagi luka tersebut. Pada pertengahan Mac 2019, kedua-dua anjing itu telah mati selepas menunjukkan gejala hypersalivation, unsteady gait dan hydrophobia. Bangkai anjing telah dibuang ke dalam belukar dan tiada laporan ke Jabatan Perkhidmatan Veterinar Sarawak dibuat.

Pada 26 Mei 2019, kes telah mengalami lemah badan dan kesukaran bernafas. Keesokan harinya beliau telah dibawa ke sebuah hospital swasta di Kuching apabila gejalanya bertambah teruk. Pada 29 Mei 2019, kes telah dirujuk ke HUS di mana pemeriksaan mendapati beliau mengalami kekeliruan (confusion), hydrophobia, kesukaran menelan dan otot anggota tubuh yang lemah.  Kes kini di bawah rawatan dan pengawasan rapi di hospital tersebut. Sampel klinikal kes akan diambil dan dihantar ke Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) untuk ujian rabies.

Sejak pengisytiharan wabak pada 1 Julai 2017 sehingga kini, kes disahkan rabies dalam kalangan manusia di Sarawak adalah 17 orang termasuk 16 kematian. Kes terakhir disahkan rabies adalah pada 18 Januari 2019.

Memandangkan negeri Sarawak belum bebas daripada risiko jangkitan rabies, KKM ingin menegaskan supaya orang ramai tidak mengambil anjing yang tidak diketahui status vaksinasinya untuk dipelihara. Sila pastikan haiwan peliharaan diberi vaksin anti-rabies; dan tidak membiarkannya berkeliaran atau bergaul dengan haiwan liar.

rabies1

Elakkan diri daripada digigit atau dicakar oleh anjing atau haiwan liar.  Sekiranya digigit atau dicakar oleh haiwan, SEGERA BASUH LUKA GIGITAN dengan sabun dan air yang mengalir sekurang-kurangnya 15 minit bagi menghilangkan kesan air liur yang mengandungi virus rabies. Selepas itu, terus dapatkan pemeriksaan dan rawatan di klinik atau hospital kerajaan yang berdekatan.

KKM juga ingin mengingatkan agar orang ramai sentiasa mematuhi arahan pihak berkuasa termasuk memaklumkan kepada pihak Jabatan Perkhidmatan Veterinar Sarawak sekiranya haiwan peliharaan sakit, menunjukkan kelainan tingkahlaku atau mati secara tiba-tiba. Kerjasama orang ramai amat diperlukan bagi menjayakan tindakan pencegahan dan kawalan rabies di Sarawak agar wabak ini dapat segera dikawal.

 

Sekian, terima kasih.

 

DATUK DR. NOOR HISHAM BIN ABDULLAH

Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia

30 Mei 2019

Categories: Press

Tagged as: