Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) ingin memaklumkan bahawa Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (NHMS 2019) kini sedang dijalankan, di mana ianya bertujuan untuk mendapatkan maklumat mengenai indikator-indikator utama kesihatan dan keperluan penjagaan kesihatan penduduk.
NHMS 2019 yang kini dalam kitaran ke-enam diselaraskan oleh Institut Kesihatan Umum (IKU), dengan kerjasama Institut Penyelidikan Sistem Kesihatan (IPSK) dan Institut Penyelidikan Tingkahlaku Kesihatan (IPTK). Ia akan bertumpu kepada penyakit tidak berjangkit (NCD) dan permintaan penjagaan kesihatan, penggunaan dan kos. Tahun ini, Tinjauan Kesihatan Pedalaman Sarawak digabungkan dengan NHMS bagi mendapatkan data penting akan status kesihatan komuniti yang tinggal di pedalaman Sarawak.
Tinjauan di lapangan akan berjalan dari April sehingga September 2019. Maklumat akan dikumpulkanmelalui temubual secara bersemuka dengan orang dewasa dan kanak-kanak yang layak di 12,000 isi rumah yang dipilih secara rawak di seluruh negara, di mana ianya meliputi kira-kira 30,000 responden.
Fasa tinjauan awal sedang dijalankan dari April hingga Jun, di mana pegawai-pegawai dari Jabatan Kesihatan Negeri melawat isi rumah terpilih dan memberitahu mereka mengenai tinjauan ini. Risalah maklumat tentang tinjauan ini akan diberikan kepada responden dan mereka dinasihatkan untuk menjangkakan kunjungan kali kedua semasa fasa pengumpulan data iaitu dari Julai hingga September, di mana satu pasukan penemubual terlatih akan melawat isi rumah ini untuk mengadakan temubual penuh.
Tinjauan ini akan meliputi soalan-soalan mengenai topik seperti aktiviti fizikal, pemakanan, dan isu-isu kesihatan yang lain. Selain itu, pengukuran berat badan, tinggi, ukur lilit pinggang, tekanan darah, dan ujian darah dari hujung jari untuk memeriksa paras gula, kolesterol, dan haemoglobin (sel darah merah) juga akan dilaksanakan ke atas responden yang telah bersetuju.
Untuk maklumat lanjut, sila hubungi talian NHMS di 03-33628793 atau kunjungi http://iku.gov.my/nhms.
Sekian, terima kasih.
DATUK DR NOOR HISHAM BIN ABDULLAH
KETUA PENGARAH KESIHATAN MALAYSIA
30 Mei 2019
Categories: Non-communicable disease, Press, Research & Publication
You must be logged in to post a comment.