Press

Kenyataan Akhbar KPK 31 Mei 2019 – Buah “Baby Nanas” Jenama Dragon King dari Thailand yang Tular Didakwa Mengandungi Siklamat Tidak Dieksport ke Malaysia

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) ingin merujuk kepada isu buah “baby nanas” jenama Dragon King dari Thailand yang didakwa mengandungi siklamat yang tular di media sosial. Isu ini juga pernah tular di media sosial pada tahun 2017.

Berdasarkan semakan data melalui Sistem Maklumat Keselamatan Makanan Malaysia (Food Safety Information System of Malaysia-FoSIM) dari tahun 2017 sehingga kini, buah “baby nanas” jenama Dragon King dari Thailand tidak dieksport ke Malaysia.

nanas dragon king

nanas

Menurut The Joint FAO/WHO Expert Committee on Food Additives (JECFA), siklamat adalah sejenis pemanis tanpa zat yang memberikan rasa manis 30-50 kali ganda lebih daripada gula sukrosa. Peraturan-Peraturan Makanan 1985 tidak membenarkan penggunaan siklamat dalam buah-buahan segar termasuk yang telah dikupas atau sedia dimakan.

KKM telah meningkatkan pemantauan buah nanas import di pintu masuk negara dari tahun 2017 sehingga kini, di mana sejumlah 65 sampel buah nanas telah diambil bagi tujuan analisa pelbagai parameter seperti bahan pemanis (termasuk siklamat), bahan pengawet dan residu pestisid. Kesemua sampel tersebut adalah mematuhi Akta Makanan 1983 dan peraturan-peraturan di bawahnya.

KKM akan meneruskan pemantauan ke atas semua buah nanas di semua pintu masuk negara bagi memastikan ianya mematuhi Akta Makanan 1983 dan peraturan-peraturan di bawahnya. Sekiranya didapati tidak mematuhi Akta Makanan 1983 dan peraturan-peraturan di bawahnya, tindakan penguatkuasaan akan diambil.

Semua makanan yang dieksport ke negara ini perlu mematuhi Akta Makanan 1983 dan peraturan-peraturan di bawahnya. Adalah menjadi tanggungjawab pihak yang terlibat seperti pengimport, agen, penjual dan sebagainya untuk memastikan produk makanan yang diimport dan dijual di pasaran mematuhi perundangan makanan.

Seksyen 13(B) Akta Makanan 1983 memperuntukkan tiada seorang pun boleh menyediakan atau menjual apa-apa makanan yang diadukkan dengan mengandungi apa-apa bahan penambahannya tidak dibenarkan di bawah Akta Makanan 1983 atau peraturan-peraturan di bawahnya. Sesiapa yang didapati melanggar peruntukan ini adalah melakukan kesalahan dan apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi RM20,000 atau penjara selama tempoh tidak melebihi 5 tahun atau kedua-duanya sekali.

KKM sentiasa peka dan prihatin terhadap perkara-perkara yang boleh mengancam kesihatan pengguna. Sekiranya pengguna mempunyai sebarang kemusykilan berhubung sebarang isu keselamatan makanan, pengguna boleh menghubungi Pejabat Kesihatan Daerah atau Jabatan Kesihatan Negeri terdekat atau melalui laman sesawang http://moh.spab.gov.my atau facebook Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan (BKKM)

 

DATUK DR. NOOR HISHAM ABDULLAH

KETUA PENGARAH KESIHATAN MALAYSIA

31 MEI 2019

Categories: Press

Tagged as: ,