Press

Kenyataan Akhbar KPK 1 Jun 2019 – Situasi Terkini Rabies di Sarawak

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) ingin merujuk kepada Kenyataan Akhbar Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia bertarikh 30 Mei 2019 berhubung satu (1) kes disyaki rabies di Sarawak. Pada 31 Mei 2019, ujian makmal ke atas sampel kes tersebut telah mengesahkan ia positif rabies. Kes rabies ke-18 ini adalah seorang lelaki berumur 26 tahun dari Kuching dan telah meninggal dunia pada 31 Mei 2019 jam 9.51 pagi. KKM mengucapkan takziah kepada keluarga mendiang.

Dengan pengesahan kes baru ini, jumlah kes rabies di Sarawak sejak wabak ini diumumkan pada 1 Julai 2017 adalah 18 kes; termasuk 17 kematian. Hanya seorang mangsa sahaja yang selamat, iaitu seorang kanak-kanak yang kini berumur sembilan (9) tahun, tetapi mengalami komplikasi neurologi teruk dan kini dirawat di rumah.

Kes rabies ke-18 ini merupakan mangsa ketiga jangkitan penyakit ini akibat dicakar oleh anjing yang diambil/dipungut dari sumber yang tidak diketahui. Status vaksinasi rabies haiwan-haiwan tersebut juga tidak diketahui. Justeru, KKM ingin sekali lagi mengingatkan orang ramai khususnya di Sarawak agar TIDAK MENGAMBIL / MEMUNGUT ANJING atau haiwan lain yang tidak diketahui status suntikan vaksin rabies, walaupun ia berada dalam kawasan kejiranan kerana dikhuatiri kemungkinan haiwan tersebut telah dijangkiti virus rabies dan ia sedang dalam tempoh pengeraman sebelum haiwan menunjukkan gejala.

rabies JKN Sarawak

Pencegahan paling mudah daripada jangkitan rabies adalah segera cuci bahagian tubuh yang digigit anjing atau haiwan liar dengan air mengalir dan sabun sekurang-kurangnya 15 minit bagi menghilangkan kesan air liur. Selepas itu, segera dapatkan rawatan di klinik kesihatan atau hospital terdekat.

Negeri Sarawak masih belum bebas rabies. Sejak 1 Julai 2017 hingga 30 Mei 2019, Kerajaan Negeri Sarawak telah mengisytiharkan 62 buah kawasan di 11 Bahagian sebagai kawasan jangkitan rabies. Hanya Limbang sahaja yang masih bebas rabies dalam kalangan haiwan. Maka perlu dipastikan anjing peliharaan telah mendapat suntikan vaksin anti-rabies di klinik haiwan terdekat. Sentiasa pastikan haiwan peliharaan berada dalam kawasan rumah dan tidak bercampur dengan anjing atau haiwan liar.

Kerjasama orang ramai mematuhi semua saranan Kerajaan amat-amat diperlukan bagi bersama-sama mengawal populasi anjing di negeri ini. Sila pastikan haiwan peliharaan khususnya anjing telah mendapat suntikan vaksin anti-rabies setiap tahun.

 

Sekian, terima kasih.

 

DATUK DR. NOOR HISHAM BIN ABDULLAH

Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia

1 Jun 2019

Categories: Press

Tagged as:

1 reply »