Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengucapkan selamat Hari Raya Aidil Fitri dan selamat bercuti kepada semua warga Malaysia sempena Hari Raya Aidil Fitri dan cuti sekolah. Orang ramai dinasihatkan agar sentiasa mengamalkan cara hidup sihat dan amalan kebersihan diri yang baik bagi memastikan percutian dan perayaan bersama orang tersayang dapat dinikmati dengan sempurna.
Pastikan persekitaran rumah bersih bagi mengelakkan pembiakan nyamuk yang boleh menyebabkan penyakit denggi, chikungunya, malaria dan lain-lain penyakit bawaan vektor. Gunakan kesempatan berkumpul bersama sanak saudara untuk sama-sama membersihkan kawasan persekitaran di samping mengeratkan tali silaturahim. Keselamatan rumah juga perlu diberi perhatian bagi mengelakkan sebarang kejadian yang tidak diingini semasa bercuti.
Apabila menyediakan juadah, sentiasa utamakan amalan kebersihan dan keselamatan makanan. Gunakan bahan mentah yang segar dan dimasak dengan sempurna. Makan makanan dalam tempoh empat (4) jam dari masa penyediaannya. Makanan yang hendak disimpan hendaklah diletakkan pada suhu yang selamat. Ia hendaklah dipanaskan pada suhu dan jangkamasa yang betul sebelum dimakan. Amalkan konsep “Lihat, Hidu dan Rasa” bagi mengelakkan keracunan makanan. Teruskan amalan mencuci tangan dengan betul; bukan sahaja bagi mengelakkan keracunan makanan tetapi juga dapat mencegah penyakit berjangkit yang merebak melalui sentuhan dan cecair pernafasan.
Ambil kesempatan menziarahi jiran tetangga dan sanak saudara dengan berjalan kaki bagi meneruskan cara hidup aktif. Makan secara sihat dengan mengawal kuantiti makanan yang diambil. Lebihkan makan sayur-sayuran dan buah-buahan, banyakkan meminum air kosong dan kurangkan memakan makanan yang tinggi kandungan gula, lemak dan garam. Sayangi diri dan orang tersayang di sekeliling anda dari bahaya asap rokok dengan meneruskan semangat dan tabiat berhenti merokok selaras dengan saranan Nafas Baru Ramadhan.
Akhirnya, KKM ingin mengambil kesempatan ini menasihatkan orang ramai untuk mendapatkan rehat yang cukup sebelum memulakan perjalanan. Pandu dengan cermat dan tenang, kawal perasaan marah dan wujudkan suasana harmoni bersama keluarga semasa dalam kenderaan. Singgah di kawasan Rehat dan Rawat (R & R) untuk mengurangkan stres dan gangguan emosi. Semoga anda semua selamat tiba ke destinasi masing-masing.
Selamat Hari Raya Aidil Fitri. Maaf zahir dan batin
Sekian, terima kasih.
DATUK DR. NOOR HISHAM BIN ABDULLAH
Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia
2 Jun 2019
Categories: Press
You must be logged in to post a comment.