Press

Kenyataan Akhbar KPK 13 Jun 2019 – Situasi Terkini Rabies di Sarawak

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) ingin memaklumkan terdapat satu (1) kes baharu yang disahkan rabies iaitu seorang wanita berumur 61 tahun dari Pending, Kuching, Sarawak. Beliau telah disahkan jangkitan rabies melalui ujian makmal yang dibuat oleh Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) pada 12 Jun 2019. Dukacita dimaklumkan bahawa beliau telah meninggal dunia semasa dalam rawatan di wad Hospital Umum Sarawak (HUS) pada 12 Jun 2019 jam 10.47 malam. KKM mengucapkan takziah kepada keluarga mendiang.

Kes ini mempunyai sejarah digigit oleh seekor anjing liar di bahagian ibu jari tangan kanannya pada 29 April 2019. Ia berlaku semasa beliau cuba menghalau anjing tersebut yang sentiasa menyalak kepadanya. Beliau telah mencuci luka tersebut selama 5 minit dan terus mendapatkan rawatan di sebuah klinik komuniti berhampiran rumahnya dan diberi temu janji seminggu kemudian. Walau bagaimanapun, beliau tidak mendapatkan rawatan susulan seperti yang ditetapkan kerana berpendapat bahawa luka pada jarinya telah sembuh.

Pada 6 Jun 2019, beliau mula mengalami sakit dan rasa tidak selesa di bahagian lengan tangan kanannya. Beliau telah mendapatkan rawatan di Hospital Umum Sarawak pada 8 Jun 2019 dan telah dimasukkan ke Wad Penyakit Berjangkit serta diberikan Rabies immunoglobulin (RIG). Pada keesokan harinya, beliau mengadu loya, pening, susah menelan, sakit kepala, kesukaran untuk menelan air (hydrophobia), tidak selesa di bahagian lengan tangan kanan dan lemah di bahagian bawah badan.

Dengan pengesahan ini, kes disahkan rabies dalam kalangan manusia di Sarawak semenjak pengisytiharan wabak pada 1 Julai 2017 sehingga 12 Jun 2019 adalah 19 kes; termasuk 18 kematian. Daripada 19 kes tersebut, tiga (3) kes dilaporkan pada tahun 2019.

Pihak Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Sarawak telah mengeluarkan peringatan kepada semua pengamal perubatan di negeri itu agar memastikan pengurusan kes gigitan haiwan termasuk anjing dijalankan mengikut Panduan Pengurusan Kes Gigitan Haiwan di Sarawak. Manakala kes gigitan yang berisiko dan gagal mendapatkan rawatan susulan hendaklah dimaklumkan segera kepada pejabat kesihatan berhampiran supaya kes boleh dikesan.

rabies1

KKM ingin menegaskan bahawa salah satu cara pencegahan jangkitan rabies pada manusia adalah SEGERA MEMBASUH LUKA GIGITAN dengan sabun dan air yang mengalir sekurang-kurangnya 15 minit bagi menghilangkan kesan air liur haiwan. Selepas itu, dapatkan pemeriksaan dan rawatan di klinik atau hospital kerajaan yang berdekatan. Sentiasa elakkan diri daripada digigit oleh anjing atau haiwan liar memandangkan kebanyakan kawasan di Sarawak adalah positif rabies.

Bagi memastikan langkah-langkah pencegahan dan kawalan jangkitan virus rabies dapat dilaksanakan secara menyeluruh demi mencapai Sarawak bebas rabies, orang ramai diminta sentiasa mematuhi arahan pihak berkuasa dan memberi kerjasama dalam pelaksanaan program kawalan dan pencegahan rabies yang dijalankan.

Sekian, terima kasih.

 

DATUK DR. NOOR HISHAM BIN ABDULLAH

Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia

13 Jun 2019

Categories: Press

Tagged as:

1 reply »