Press

Kenyataan Akhbar KPK 22 Jun 2019 – Situasi Terkini Kejadian Kluster Keracunan Metanol di Malaysia

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) ingin memaklumkan status kejadian kluster keracunan metanol bagi tempoh 11 Jun 2019  sehingga 21 Jun 2019, di mana tiga (3) kluster keracunan metanol telah dilaporkan kepada Crisis Preparedness and Response Centre (CPRC) Kebangsaan KKM. Kejadian melibatkan 19 kes iaitu lapan (8) kes di Pulau Pinang, enam (6) kes di Johor dan lima (5) kes di Negeri Sembilan. Punca kejadian keracunan metanol ini dipercayai disebabkan meminum minuman beralkohol yang dipalsukan berjenama Myanmar Whiskey, Miludeer Beer, Whisky 99 dan Martens Extra Strong.

Kluster keracunan metanol di negeri Pulau Pinang bermula pada 11 Jun 2019, melibatkan lapan (8) orang warganegara Myanmar. Dua (2) daripada kes tersebut telah meninggal dunia. Mereka telah meminum minuman beralkohol berjenama Myanmar Whisky yang dipalsukan. Minuman tersebut dibeli daripada penjual yang sama yang menjual secara langsung di premis tempat mangsa-mangsa keracunan ini bekerja. Pada 21 Jun 2019, satu (1) kes keracunan metanol masih dirawat di hospital Pulau Pinang dalam keadaan kritikal, manakala lima (5) kes lagi telah sihat dan didiscaj.

Bagi kluster di negeri Johor pula pelaporan kes keracunan metanol telah diterima sejak 18 Jun 2019. Ia melibatkan enam (6) kes, iaitu tiga (3) warganegara Malaysia dan masing-masing satu (1) warganegara Pakistan, Nepal dan India. Tiga (3) daripada kes-kes yang terlibat didapati meminum minuman yang dipercayai dipalsukan berjenama Miludeer Beer. Manakala kes-kes lain tidak dapat dikenalpasti minuman yang diambil kerana pesakit hadir ke hospital dalam keadaan kritikal. Empat (4) daripada kes keracunan metanol ini telah meninggal dunia. Pada 21 Jun 2019, satu (1) kes masih dirawat di Hospital Sultanah Aminah (HSA) dalam kedaan kritikal dan satu (1) kes lagi dilaporkan mengalami kabur penglihatan sedang dirawat di wad biasa di Hospital Sultan Ismail (HSI), Johor Bahru, Johor.

Jabatan Kesihatan Negeri Sembilan (JKNNS) pula telah melaporkan satu (1) kluster keracunan metanol pada 20 Jun 2019 melibatkan lima (5) kes dari daerah Port Dickson termasuk dua (2) kes kematian. Ianya melibatkan tiga (3) warganegara Malaysia, satu (1) warganegara India dan satu (1) warganegara Myanmar. Siasatan mendapati kes-kes terlibat telah meminum minuman beralkohol dipercayai dipalsukan berjenama Miludeer Beer (2 kes), Whisky 99 (1 kes) dan Martens Extra Strong (1 kes), manakala satu (1) kes tiada maklumat jenama yang diperolehi. Pada 21 Jun 2019, tiga (3) kes sedang dirawat di Hospital Port Dickson, iaitu dua (2) kes kritikal dan satu (1) kes di wad biasa.

Sampel klinikal telah diambil daripada kesemua 19 kes untuk analisa ujian metanol. Keputusan menunjukkan lima (5) kes positif metanol dan satu (1) kes negatif methanol namun menunjukkan gejala dan tanda-tanda klinikal keracunan metanol. Hasil ujian makmal untuk 13 kes lagi masih menunggu keputusan.

Screenshot 2019-06-22 at 16.16.08

Pihak Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang, Negeri Sembilan dan Negeri Johor telah berkerjasama dengan Polis DiRaja Malaysia dan Kastam DiRaja Malaysia dalam menjalankan siasatan bagi mengenalpasti sumber minuman beralkohol yang dipalsukan tersebut.

Operasi di Pulau Pinang telah berjaya merampas minuman beralkohol dan peralatan yang digunakan oleh sebuah premis yang membuat pembungkusan semula minuman beralkohol secara tidak sah. Manakala di Johor, rampasan untuk beberapa jenis minuman beralkohol yang dipalsukan telah dibuat semasa pemeriksaan dijalankan ke atas tiga (3) buah premis yang dipercayai mengedarkan minuman tersebut. Minuman dihantar ke makmal untuk ujian lanjut. Jika sabit kesalahan menyediakan atau menjual apa-apa makanan yang ada dalam atau padanya apa-apa bahan yang beracun, merosakkan atau selainnya memudaratkan kesihatan di bawah Seksyen 13 Akta Makanan 1983, denda tidak melebihi RM100,000 atau penjara selama tempoh tidak melebihi 10 tahun atau kedua-duanya sekali boleh dikenakan.

KKM akan terus memantau situasi dan mengambil langkah-langkah pencegahan dan kawalan bagi menangani kejadian keracunan metanol ini. Pengguna dinasihatkan agar memastikan setiap produk minuman beralkohol yang dibeli mempunyai label yang mengandungi maklumat pengeluar, pengimpot, agen dan penyenaraian bahan ramuan yang lengkap. Selain itu, label juga hendaklah menyatakan kandungan alkohol melalui pernyataan “ARAK MENGANDUNGI _______ % ALKOHOL”. Pengguna juga dinasihatkan untuk mengelakkan daripada mengambil minuman beralkohol yang dihasilkan sendiri (home-brewed) atau yang dijual dengan harga murah, mahupun yang meragukan.

Pihak KKM menasihatkan kepada orang awam, jika terdapat individu yang mengalami gejala keracunan metanol seperti sakit perut, loya, muntah, sakit kepala, kabur penglihatan dalam tempoh lima (5) hari pengambilan minuman beralkohol untuk segera mendapatkan rawatan di mana-mana klinik atau hospital yang terdekat. Sila layari facebook CPRC dan laman sesawang infosihat KKM di https://www.infosihat.gov.my/index.php/multimedia/infografik/item/metanol-bi-2 untuk mendapatkan maklumat mengenai langkah-langkah pencegahan keracunan metanol ini.

 

Datuk Dr Noor Hisham Abdullah

Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia

22 Jun 2019

Categories: Press

Tagged as:

1 reply »