Uncategorized

Kenyataan Akhbar KP Kesihatan 1 Julai 2019 – Perkembangan Terkini Isu Penarikan Semula Produk Air Minuman Berbungkus Jenama Starfresh Keluaran Malaysia Dari Pasaran Singapura

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memandang serius ke atas perkara ini dan ingin memaklumkan perkembangan terkini mengenai isu penarikan balik produk air minuman berbungkus (AMB) jenama Starfresh keluaran Malaysia dari pasaran Singapura kerana dikesan tercemar dengan bakteria Pseudomonas aeruginosa. Produk AMB yang terlibat berisipadu 500ml dan 1500ml dengan tarikh akhir masing-masing pada 11 Mei 2021 dan 13 Mei 2021.

KKM melalui Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan (BKKM) telah menjalankan verifikasi ke atas kilang dan didapati program jaminan keselamatan makanan tidak dilaksanakan dengan berkesan. Di samping itu, hasil analisis terhadap jenama Starfresh yang dieksport ke Singapura dan jenama Waterfuns yang dijual di pasaran tempatan tidak mematuhi Akta Makanan 1983 dan Peraturan-Peraturan Makanan 1985 kerana didapati tercemar dengan bakteria Pseudomonas aeruginosa. Produk ini boleh dikenalpasti melalui tarikh akhir yang terdapat pada label. KKM juga telah mengarahkan pihak kilang untuk menarik balik produk AMB terlibat di pasaran tempatan.

AMB

Susulan itu, KKM telah menggantung lesen AMB kilang berkenaan berkuatkuasa pada 28 Jun 2019. Aktiviti pemprosesan dan pengeluaran AMB bagi maksud perdagangan atau perniagaan adalah tidak dibenarkan dan pihak kilang diarahkan untuk menjalankan tindakan pembetulan dalam tempoh penggantungan lesen. Pada masa yang sama, pihak kilang telah memaklumkan bahawa mereka akan menarik balik secara sukarela lain-lain jenama produk AMB yang terlibat iaitu Iceberg, Sukahati, Rofina, Dixy Green dan Dixy Blue.

KKM akan meningkatkan pemantauan terhadap penjualan produk air minuman di pasaran tempatan bagi memastikan pematuhan Akta Makanan 1983 dan peraturan-peraturan di bawahnya.

KKM ingin menegaskan produk AMB untuk jualan perlu mematuhi Peraturan 360B, Peraturan-Peraturan Makanan 1985 di bawah Akta Makanan 1983. KKM ingin menasihatkan pengguna yang telah membeli produk AMB dengan jenama dan tarikh akhir yang terlibat agar tidak minum produk tersebut (iaitu tarikh akhir masing-masing pada 11 Mei 2021 dan 13 Mei 2021).

KKM sentiasa peka dan prihatin terhadap perkara-perkara yang boleh mengancam kesihatan pengguna. Sekiranya pengguna mempunyai sebarang kemusykilan berhubung sebarang isu keselamatan makanan, sila hubungi Pejabat Kesihatan Daerah atau Jabatan Kesihatan Negeri terdekat atau melalui laman sesawang http://moh.spab.gov.my atau facebook Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan (BKKM) www.facebook.com/bkkmhq. KKM juga akan memaklumkan situasi terkini isu ini dari semasa ke semasa.

Sekian, terima kasih.

DATUK DR. NOOR HISHAM ABDULLAH

KETUA PENGARAH KESIHATAN MALAYSIA

 

1 JULAI 2019

Categories: Uncategorized