Press

Kenyataan Akhbar KPK 15 Julai 2019 – Status Semasa Kluster Kes Malaria di Pos Lenjang, Kuala Lipis, Pahang

Pada 11 Julai 2019, satu kejadian kluster empat (4) kes disahkan malaria telah dilaporkan kepada Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Kuala Lipis  daripada Klinik Kesihatan Betau. Kesemua kes melibatkan kanak-kanak Orang Asli yang berumur 4 hingga 10 tahun yang berasal dari dua buah kampung iaitu masing-masing dua (2) kes dari Kampung Pagar dan Kampung Serdang. Kesemua kes telah dimasukkan ke wad Hospital Kuala Lipis dan diberi rawatan. Punca jangkitan sedang disiasat oleh PKD Kuala Lipis kerana kawasan ini tidak melaporkan kes malaria sejak 8 tahun lepas, di mana kes terakhir dilaporkan pada tahun 2011.

Jabatan Kesihatan Negeri Pahang telah mengaktifkan Bilik Gerakan Wabak pada 12 Julai 2019 dan aktiviti kawalan serta tindakan pengesanan kes (Active Case Detection) dilaksanakan oleh Pasukan PKD  Kuala Lipis di Kampung Pagar dan Kampung Serdang. Sejumlah 393 slaid darah telah diambil dari penduduk di kedua-dua kampung tersebut untuk ujian mikroskopi. Hasil pemeriksaan awal slaid tersebut, pihak PKD telah menemui 11 kes lagi  jangkitan malaria di Kampung Serdang. Bermula dari 11 Julai hingga 15 Julai 2019, telah terdapat 15 kes dilaporkan daripada dua kampung ini. Kesemua kes telah didiagnosa mengalami malaria jangkitan Plasmodium vivax dan telah dimasukkan ke hospital untuk diberi rawatan serta dalam keadaan stabil.

Pihak PKD juga telah menjalankan aktiviti kawalan malaria dengan menjalankan aktiviti semburan racun serangga pada dinding (Indoor  Residual Spraying) dan edaran kelambu berubat di lokaliti terlibat. Pada ketika ini, pasukan PKD sedang meneruskan aktiviti pengesanan kes dan aktiviti kawalan vektor.

Penduduk di lokaliti tersebut telah diberi pendidikan kesihatan untuk mengambil langkah pencegahan jangkitan dengan menggunakan pakaian yang menutupi anggota badan dan menggunakan repelen bagi mengelakkan gigitan nyamuk. Di samping itu, penduduk disarankan untuk tidur di dalam kelambu berubat dan elakkan aktiviti-aktiviti yang dijalankan di dalam atau berhampiran kawasan hutan pada waktu malam.

Kementerian Kesihatan Malaysia sedang memantau kejadian kluster kes malaria ini dan kerjasama daripada masyarakat awam amat diperlukan bagi memastikan kejadian jangkitan penyakit malaria ini dapat dikawal sebaiknya.

 

DATUK DR. NOOR HISHAM ABDULLAH

KETUA PENGARAH KESIHATAN MALAYSIA

15 Julai 2019

Categories: Press

Tagged as:

1 reply »