Press

Kenyataan Akhbar KPK 6 Ogos 2019 – Latihan Simulasi Lapangan Avian Influenza Kebangsaan 2019 di Negeri Pahang pada 5 hingga 7 Ogos 2019

Avian Influenza (AI) adalah penyakit selsema dalam kalangan unggas. Jangkitan AI daripada unggas kepada manusia boleh berlaku jika terdedah kepada unggas yang dijangkiti dengan virus selsema burung tersebut. Kadar kematian dalam kalangan orang yang dijangkiti virus “highly pathogenic avian influenza (HPAI)” di negara-negara endemik penyakit ini adalah tinggi iaitu 60%. Sehingga kini, tiada kes disahkan AI dilaporkan dalam kalangan penduduk Malaysia.

Malaysia bebas daripada HPAI dalam kalangan unggas dari 2007 sehingga bulan Mac 2017 apabila berlakunya wabak H5N1 dalam kalangan ayam di Kelantan. Pada bulan Ogos 2018, berlaku pula wabak H5N1 dalam kalangan ayam di Sabah. Namun begitu, tiada kes dalam kalangan manusia dilaporkan dalam kedua-dua kejadian tersebut.

Sebagai langkah kesiapsiagaan, Latihan Simulasi AI Kebangsaan dijalankan setiap tahun oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dengan kerjasama Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) Malaysia, Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara Semenanjung Malaysia (PERHILITAN) dan Malaysia One Health University Network (MyOHUN). Objektif latihan simulasi adalah untuk menguji kesiapsiagaan anggota KKM dalam pengurusan kes di klinik, hospital dan juga di lapangan. Kekuatan dan kelemahan di setiap peringkat akan dikenalpasti untuk dibuat penambaikan bagi membantu meningkatkan kesiapsiagaan anggota dalam mengendalikan kes AI pada masa hadapan. Latihan simulasi ini juga menguji koordinasi antara pelbagai agensi yang terlibat dalam mengendalikan kes AI.

Sejak tahun 2011, latihan simulasi AI peringkat kebangsaan telah berjaya dianjurkan di enam (6) buah negeri iaitu di Johor, Sarawak, Pulau Pinang, Kelantan, Kedah dan Negeri Sembilan. Bagi tahun 2019, Latihan Simulasi AI Peringkat Kebangsaan diadakan pada 5 hingga 7 Ogos 2019 di Negeri Pahang. Latihan 2019 ini melibatkan fasiliti kesihatan KKM di Daerah Pekan dan Jerantut. Manakala DVS Malaysia terlibat dalam pengendalian unggas di Pekan dan Pusat Perubatan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (IIUMMC) dan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) terlibat dalam pengendalian kes manusia. Manakala Sapura Sdn. Bhd. terlibat dalam pengujian sistem komunikasi Government Integrated Radio Network (GIRN).

This slideshow requires JavaScript.

Latihan simulasi ini telah dijalankan dengan jayanya dan mencapai objektif yang ditetapkan. Kerjasama sedemikian akan diteruskan pada masa hadapan. Penambahbaikan dokumen dan prosedur berkaitan akan dibuat dengan mengambilkira cadangan dan ulasan daripada semua pegawai-pegawai penilai yang terlibat.

Sekian, terima kasih.

DATUK DR NOOR HISHAM BIN ABDULLAH

KETUA PENGARAH KESIHATAN MALAYSIA

6 OGOS 2019

 

Categories: Press

Tagged as: