Press

Kenyataan Akhbar KPK 28 Ogos 2019 – Operasi Khas Pelabelan (‘Ops Label’)

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melalui Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan ingin memaklumkan bahawa satu operasi khas penguatkuasaan iaitu ‘Ops Label’ telah dijalankan pada 21 dan 22 Ogos 2019 di premis makanan di seluruh negara.

Objektif Ops Label adalah untuk memastikan produk makanan berbungkus yang dihasilkan di negara ini atau yang diimport mematuhi pelabelan makanan sepertimana yang diperuntukkan di bawah Akta Makanan 1983 dan Peraturan-Peraturan Makanan 1985. Operasi Khas ini juga dijalankan bagi memastikan produk makanan yang dijual dilabel dengan betul dan tidak mengelirukan pengguna. Semua makanan yang diproses atau dibungkus di Malaysia perlu dilabelkan dalam Bahasa Malaysia. Manakala bagi makanan import dibenarkan dilabel dalam Bahasa Malaysia atau Bahasa Inggeris.

Sepanjang operasi dijalankan, sebanyak 12,729 produk makanan telah disita dengan nilai sitaan RM 109,289.15. Sementara itu, sebanyak 110 notis hadir ke mahkamah telah dikeluarkan di bawah Akta Makanan 1983 kepada pemilik premis makanan yang gagal mematuhi peruntukan tertentu di bawah Peraturan-Peraturan Makanan 1985. Antara kesalahan yang dikenalpasti adalah bahasa yang digunakan pada label dan maklumat label tidak mematuhi Peraturan-Peraturan Makanan 1985 seperti nama sebutan sebenar, senarai ramuan tidak lengkap, tiada penyataan ramuan yang boleh menyebabkan alergi (hipersensitiviti), tiada berat bersih atau isipadu dan lain-lain.

KKM juga telah meningkatkan kawalan pada pelabelan produk makanan import di pintu masuk negara sejak Mac 2018. KKM akan terus melakukan operasi seumpama ini dari semasa ke semasa bagi memastikan produk makanan yang dijual di pasaran adalah mematuhi syarat-syarat pelabelan sebagaimana yang ditetapkan oleh Peraturan-Peraturan Makanan 1985.

Adalah menjadi tanggungjawab pihak yang terlibat seperti pengimport, agen, penjual dan sebagainya untuk memastikan produk makanan yang diimport dan dijual di pasaran mematuhi Akta Makanan 1983 dan peraturan-peraturan di bawahnya.

Seksyen 16, Akta Makanan 1983 memperuntukkan mana-mana orang yang menyedia, membungkus, melabel atau menjual apa-apa makanan dengan suatu cara yang palsu, mengelirukan atau memperdayakan adalah melakukan suatu kesalahan dan apabila disabitkan boleh dikenakan penjara selama tempoh tidak lebih daripada tiga (3) tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

KKM sentiasa peka dan prihatin terhadap perkara-perkara yang boleh mengancam kesihatan pengguna termasuk pelabelan makanan yang tidak mematuhi kehendak Akta Makanan 1983 dan peraturan-peraturan di bawahnya. Sekiranya pengguna mempunyai sebarang kemusykilan berhubung sebarang isu keselamatan makanan, pengguna boleh menghubungi Pejabat Kesihatan Daerah atau Jabatan Kesihatan Negeri terdekat atau melalui laman sesawang http://moh.spab.gov.my atau facebook Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan (BKKM) www.facebook.com/bkkmhq.

 

DATUK DR. NOOR HISHAM ABDULLAH

KETUA PENGARAH KESIHATAN MALAYSIA

28 OGOS 2019

Categories: Press