Press

Kenyataan Akhbar KPK 5 September 2019 – Hamer Ginseng & Coffee Candy yang Dicampurpalsu Racun Berjadual “Nortadalafil”

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah mengesan beberapa premis yang menjual Hamer Ginseng & Coffee Candy di sekitar Lembah Klang. Hasil analisa makmal mendapati produk tersebut mengandungi racun berjadual “Nortadalafil” dan disahkan tidak berdaftar dengan Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD). Nortadalafil adalah merupakan ubat terkawal yang digunakan untuk merawat masalah fungsi seksual lelaki (impotensi atau erectile dysfunction).

Semua pembekalan produk yang mengandungi racun berjadual adalah tertakluk kepada Akta Racun 1952. Nortadalafil dikelaskan sebagai Racun Kumpulan B di bawah Jadual Pertama Akta Racun 1952. Bagi pembekalan produk yang mengandungi racun Kumpulan B, Ahli Farmasi berlesen hanya boleh membekalkan produk tersebut (yang berdaftar dengan PBKD) kepada pesakit melalui preskripsi yang sah yang dikeluarkan oleh Pengamal Perubatan Berdaftar, Pengamal Pergigian Berdaftar atau Pegawai Veterinar.

Penggunaan Nortadalafil tanpa pengawasan profesional kesihatan boleh menyebabkan kesan advers serius seperti pengurangan atau kehilangan penglihatan dan pendengaran, penurunan tekanan darah sehingga ke peringkat yang merbahaya dan kesan terhadap sistem kardiovaskular seperti strok dan serangan jantung yang boleh menyebabkan kematian.

KKM melalui Bahagian Penguatkuasa Farmasi (BPF) telah membuat pemantauan dan tindakan penguatkuasaan ke atas pihak yang mengilang, mengedar dan menjual produk Hamer Ginseng & Coffee Candy di pasaran. Sepanjang tahun 2018, sebanyak 6 serbuan telah dijalankan merangkumi rampasan produk sebanyak 328 paket dengan nilai rampasan sebanyak RM 2,724. Manakala, aktiviti operasi tersebut telah meningkat kepada 19 serbuan pada tahun 2019 dengan dengan nilai rampasan keseluruhan produk tersebut sebanyak RM 18,910.

Pada tahun 2019, sebanyak 87 platform melibatkan laman sesawang dan media sosial berkaitan penjualan produk Hamer Ginseng & Coffee Candy telah disaring, dipantau dan diambil tindakan sekatan di seluruh negara oleh BPF bersama-sama dengan pihak Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), Facebook, Google, pembekal domain dan web hoster. Selain itu, sebanyak 21 notifikasi juga telah dikeluarkan kepada  pengendali e-dagang untuk menurunkan iklan-iklan penjualan produk tersebut dari tahun 2018 hingga kini. Kolaborasi bersama pihak antarabangsa seperti Interpol dan agensi kesihatan luar negara turut diadakan dalam usaha membanteras aktiviti sedemikian.

Penjualan racun berjadual tanpa lesen yang sah boleh disiasat di bawah Seksyen 13 Akta Racun 1952 dan jika didapati bersalah boleh dihukum di bawah Seksyen 32(2) Akta yang sama iaitu denda tidak melebihi RM 3,000 atau penjara tidak melebihi 1 tahun atau kedua-duanya sekali.

KKM menasihatkan orang ramai yang mempunyai stok produk ini untuk menghentikan dengan SERTA MERTA semua penjualan, pengedaran atau penggunaannya. Orang ramai dan pihak media digalakkan untuk mengemukakan aduan dan menyalurkan maklumat berkenaan produk yang meragukan sebagai usaha bersama pihak KKM untuk membanteras penjualan produk kesihatan yang tidak dibenarkan bagi melindungi kesihatan dan kesejahteraan orang awam. Sebarang aduan dan maklumat boleh disalurkan kepada Program Perkhidmatan Farmasi melalui laman sesawang http://www.pharmacy.gov.my ATAU melalui portal Sistem Pengurusan Aduan Agensi Awam (SisPAA) di alamat http://moh.spab.gov.my ATAU mana-mana Cawangan Penguatkuasaan Farmasi yang berdekatan ATAU melalui talian 03-78413200 agar tindakan sewajarnya dapat diambil bagi membanteras penjualan produk seperti  ini di pasaran.

 

Datuk Dr Noor Hisham bin Abdullah

Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia

5 September 2019

Categories: Press