Press

Kenyataan Akhbar KPK 6 September 2019 – Produk Tradisional TYT Jiang Tang Ling Plus Dikesan Mengandungi Racun Berjadual Glibenclamide

Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) ingin menggesa orang awam untuk mengelak daripada membeli dan menggunakan produk tradisional berikut yang telah dikesan mengandungi racun berjadual glibenclamide:

Screenshot 2019-09-06 at 12.33.56Pendaftaran produk ini telah dibatalkan oleh Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD) pada mesyuaratnya yang ke-338 pada 5 September 2019 berikutan pengesanan racun berjadual glibenclamide di dalam produk berkenaan yang tidak dibenarkan dalam formulasi produk tradisional.

Screenshot 2019-09-06 at 12.42.37

PERIHAL BAHAN RACUN BERJADUAL

Glibenclamide merupakan racun berjadual dan pembekalan ubat-ubatan yang mengandungi racun berjadual adalah tertakluk kepada  Akta Racun 1952, di mana ianya hanya boleh dibekalkan oleh pengamal perubatan berdaftar atau ahli farmasi berlesen. Penggunaan Glibenclamide tanpa pengawasan profesional kesihatan boleh menyebabkan paras gula yang terlalu rendah di dalam darah dan seterusnya mengakibatkan sawan atau tidak sedarkan diri kepada pesakit.

PERINGATAN

Penjual dan pengedar produk ini perlu menghentikan penjualan dan pengedarannya dengan serta-merta. Penjualan dan pengedaran produk ini adalah melanggar Akta Jualan Dadah 1952 dan Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984.

Individu yang melakukan kesalahan di bawah Peraturan-Peraturan ini boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM25,000 atau penjara tidak melebihi 3 tahun atau kedua-duanya untuk kesalahan pertama dan denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak melebihi 5 tahun atau kedua-duanya untuk kesalahan-kesalahan berikutnya. Syarikat yang melakukan kesalahan boleh dikenakan denda sehingga RM50,000 untuk kesalahan pertama dan denda sehingga RM100,000 untuk kesalahan berikutnya.

Orang awam yang sedang menggunakan produk ini dinasihatkan untuk segera menghentikan penggunaannya dan mendapatkan nasihat dari profesional kesihatan jika mengalami sebarang ketidakselesaan atau kesan advers.

Orang awam boleh menyemak status pendaftaran sesuatu produk melalui laman sesawang http://www.npra.gov.my atau memuat turun aplikasi ‘NPRA Product Status’ daripada Google Play Store.

DATUK DR NOOR HISHAM BIN ABDULLAH

KETUA PENGARAH KESIHATAN MALAYSIA

6 SEPTEMBER 2019

Categories: Press