Press

Kenyataan Akhbar KPK 6 September 2019 – Waspada Dua Produk Dikesan Dicemarpalsu dengan Racun Berjadual

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) ingin mengingatkan orang awam agar tidak membeli atau mengambil dua produk yang telah dikesan mengandungi racun berjadual iaitu Skinny Lolita (dikesan mengandungi Sibutramine) dan Xtreme Candy (dikesan mengandungi Tadalafil) berdasarkan analisa makmal yang dijalankan oleh pihak Health Science Authority (HSA),  Singapura.

Bagi produk Skinny Lolita, semakan mendapati produk tersebut merupakan produk yang tidak berdaftar dengan Kementerian Kesihatan Malaysia dan sehingga kini sebanyak 81 paket produk tersebut telah dirampas oleh Bahagian Penguatkuasaan Farmasi, KKM dengan nilai rampasan RM1,620.00. Bagi produk Xtreme Candy pula, setakat ini, tiada produk tersebut yang ditemui di pasaran di Malaysia. Bagi kedua-dua produk terbabit, tiada maklumat pengilang yang dinyatakan pada label dan bungkusan produk. Walau bagaimanapun, pemantauan berterusan terutama melibatkan penjualan dalam talian akan diteruskan bagi mengesan produk-produk ini.

Dalam usaha untuk mengekang penjualan produk-produk yang tidak berdaftar atau dicemarpalsu dengan racun dalam talian, KKM melalui Bahagian Penguatkuasaan Farmasi sentiasa membuat pemonitoran berterusan terhadap penjualan dan pengiklanan produk farmaseutikal yang dijual dalam talian termasuk di platform e-dagang (e-commerce). KKM bersama-sama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dan pemilik platform e-dagang dalam dan luar negara sentiasa bekerjasama memastikan laman sesawang atau platform disekat daripada menjual produk tidak berdaftar dalam talian.

Penjualan produk tidak berdaftar dengan Kementerian Kesihatan Malaysia adalah melanggar Peraturan 7(1)(a) Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984 dan mereka yang didapati bersalah boleh dikenakan hukuman denda di bawah Akta Jualan Dadah 1952, tidak melebihi RM 25,000 atau penjara tidak melebihi 3 tahun atau kedua-duanya untuk kesalahan pertama dan denda tidak melebihi RM 50,000 atau penjara tidak melebihi 5 tahun atau kedua-duanya untuk kesalahan berikutnya.

Manakala bagi makanan yang ditambah dengan bahan terlarang, penyediaan atau penjualan makanan tersebut adalah satu kesalahan di bawah Seksyen 13, Akta Makanan 1983 yang boleh dijatuhi hukuman denda tidak melebih RM100,000.00 atau penjara tidak melebihi 10 tahun atau kedua-duanya.

Orang ramai digalakkan untuk mengemukakan aduan dan menyalurkan maklumat berkenaan produk yang meragukan sebagai usaha bersama pihak kementerian untuk membanteras penjualan produk kesihatan yang tidak dibenarkan bagi melindungi kesihatan dan kesejahteraan orang awam. Aduan dan maklumat tersebut boleh disalurkan kepada Program Perkhidmatan Farmasi melalui laman sesawang http://www.pharmacy.gov.my ATAU melalui portal Sistem Pengurusan Aduan Agensi Awam (SisPAA) di alamat http://moh.spab.gov.my ATAU mana-mana Cawangan Penguatkuasaan Farmasi yang berdekatan ATAU melalui talian 03-78413200 agar tindakan sewajarnya dapat diambil bagi membanteras penjualan produk ini di pasaran.

Bagi produk makanan, aduan boleh dibuat di Pejabat Kesihatan Daerah atau Jabatan Kesihatan Negeri berhampiran atau melalui melalui portal Sistem Pengurusan Aduan Agensi Awam (SisPAA) di alamat http://moh.spab.gov.my atau melalui facebook Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan (BKKM) www.facebook.com/bkkmhq.

Datuk Dr Noor Hisham bin Abdullah

Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia

6 September 2019

Categories: Press