Press

Kenyataan Akhbar KPK 19 September 2019 – Situasi Terkini Penyakit Berkaitan Jerebu di Malaysia

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) ingin merujuk kepada bacaan Indeks Pencemar Udara (IPU) dari 68 Stesen Pengawasan Kualiti Udara Jabatan Alam Sekitar (JAS) pada jam 3 petang, 19 September 2019 yang menunjukkan dua puluh enam (26) stesen berada pada bacaan tahap sederhana, tiga puluh enam (36) stesen berada pada bacaan tahap tidak sihat dan enam (6) stesen mempunyai bacaan tahap sangat tidak sihat.

KKM memantau penyakit-penyakit berkaitan jerebu di 31 buah klinik sentinel jerebu, KKM iaitu penyakit asma, konjuntivitis dan jangkitan saluran pernafasan (Upper Respiratory Tract Infection – URTI). Terdapat peningkatan penyakit asma sebanyak 15.8% (1,187 kepada 1,375 kes) pada minggu epid (ME) 37 (8 hingga 14 September 2019) berbanding dengan purata ME 27 hingga ME 36 (30 Jun hingga 7 September 2019). Begitu juga dengan penyakit konjuntivitis, terdapat peningkatan sebanyak 24.9% (253 kepada 317 kes) pada tempoh masa yang sama manakala penyakit URTI menunjukkan penurunan sebanyak 17.3% (7,551 kepada 6,245 kes).

Asma

Konjunktivitis

URTI

KKM akan terus memantau tren penyakit-penyakit ini. Orang ramai terutamanya golongan yang berisiko tinggi seperti kanak-kanak, orang tua, perokok, mereka yang sentiasa terdedah dengan udara luar dan mereka yang mengalami penyakit seperti asma, bronkitis, radang paru-paru, sakit jantung dan alahan dinasihatkan agar mengambil langkah berjaga-jaga bagi mengurangkan kesan kesihatan akibat jerebu seperti berikut:

i. Mengurangkan aktiviti fizikal di luar rumah. Aktiviti fizikal akan menyebabkan peningkatan kadar pernafasan dan keadaan ini boleh meningkatkan risiko penyakit akibat jerebu;

ii. Selari dengan saranan di dalam Pelan Tindakan Jerebu Kebangsaan, penganjuran melibatkan aktiviti fizikal di luar bangunan dinasihatkan supaya ditangguhkan apabila Bacaan IPU melebihi 100;

iii. Tutup tingkap bagi mengurangkan asap jerebu masuk ke dalam rumah atau bangunan;

iv. Jika mampu, pasang alat pendingin hawa dan penapis udara (air filter / purifier) yang berkecekapan tinggi di rumah bagi menapis partikel halus dan menghalang kemasukan pencemaran udara dari luar;

v. Elakkan aktiviti yang boleh meningkatkan pencemaran udara dalam rumah atau bangunan dengan tidak merokok dan sentiasa membersihkan persekitaran dalaman;

vi. Banyak minum air (sekurang-kurangnya 8 gelas sehari) bagi mengekalkan tahap hidrasi badan;

vii. Gunakan penutup hidung dan mulut (face mask) apabila melakukan aktiviti luar rumah;

viii. Kerap membasuh muka dan bahagian badan yang terdedah kepada jerebu;

ix. Awasi kesihatan anak-anak kecil dan mereka yang menghidap penyakit respiratori dan jantung kerana golongan ini lebih mudah terjejas akibat pendedahan kepada jerebu;

x. Hidupkan alat pendingin hawa dengan mod kitaran dalam dan menutup tingkap bagi yang menggunakan kenderaan yang berdingin hawa; dan

xi. Datang ke fasiliti kesihatan terdekat bagi pemeriksaan dan rawatan sewajarnya jika mengalami gejala dan tanda seperti batuk, selsema, asma, sakit mata, jangkitan paru-paru. Orang ramai boleh mendapatkan langkah-langkah pencegahan untuk mengurangkan kesan kesihatan akibat jerebu menerusi laman sesawang KKM iaitu http://www.moh.gov.my/index.php/pages/view/183.

Perkembangan semasa jerebu dan semakan bacaan IPU di lokaliti masing-masing boleh dilayari di laman portal Jabatan Alam Sekitar (JAS) di alamat http://apims.doe.gov.my/ dan ikuti saranan pihak berwajib.

KKM sentiasa bekerjasama dengan kementerian dan agensi berkaitan dalam menguruskan kejadian ini. Sebarang perkembangan akan dimaklumkan dari masa ke semasa.

DATUK DR. NOOR HISHAM ABDULLAH

KETUA PENGARAH KESIHATAN MALAYSIA

19 September 2019

 

 

Categories: Press