Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengambil maklum mengenai bacaan Indeks Pencemar Udara (IPU) dari 68 Stesen Pengawasan Kualiti Udara Jabatan Alam Sekitar (JAS) pada jam 8 malam, 22 September 2019 yang menunjukkan 24 stesen berada pada bacaan tahap sederhana, 42 stesen berada pada bacaan tahap tidak sihat dan satu (1) stesen mempunyai bacaan tahap sangat tidak sihat.
Pada Minggu Epid (ME) 38 (15 hingga 21 September 2019) terdapat 17 kawasan merekodkan status IPU Sangat Tidak Sihat (Kulim Hi-Tech, Balik Pulau, Minden, Taiping, Johan Setia, Klang, Shah Alam, Petaling Jaya, Putrajaya, Batu Muda, Nilai, Tangkak, Sibu, Sarikei, Sri Aman, Samarahan dan Kuching) berbanding tiga (3) kawasan pada ME 37 (8 hingga 14 September 2019) iaitu Samarahan, Kuching dan Johan Setia. Tiada kawasan merekodkan status IPU Bahaya pada ME 37 walaubagaimanapun pada ME 38 terdapat satu (1) kawasan merekodkan status IPU Bahaya iaitu Sri Aman.
KKM memantau penyakit-penyakit berkaitan jerebu di 33 buah Fasiliti Sentinel Jerebu KKM iaitu penyakit asma, konjuntivitis dan jangkitan saluran pernafasan (Upper Respiratory Tract Infection – URTI). Terdapat peningkatan penyakit asma sebanyak 3.5 % (1,222 kepada 1,265 kes) pada ME 38 (15 hingga 21 September 2019) berbanding dengan purata ME 27 hingga ME 36 (30 Jun hingga 7 September 2019). Begitu juga dengan penyakit konjuntivitis, terdapat peningkatan sebanyak 51.4% (266 kepada 403 kes) pada tempoh masa yang sama. Manakala penyakit URTI menunjukkan penurunan sebanyak 9.6 % (8,258 kepada 7,465 kes).
KKM menasihatkan orang ramai terutamanya golongan yang berisiko tinggi seperti kanak-kanak, orang tua, perokok, mereka yang sentiasa terdedah dengan udara luar dan mereka yang mengalami penyakit seperti asma, bronkitis, radang paru-paru, sakit jantung dan alahan agar mengambil langkah berjaga-jaga bagi mengurangkan kesan kesihatan akibat jerebu.
Bagi mendapatkan langkah-langkah pencegahan untuk mengurangkan kesan kesihatan akibat jerebu, orang ramai boleh melayari laman sesawang KKM di alamat http://www.moh.gov.my/index.php/pages/view/183.
Orang ramai disaran untuk mengikuti perkembangan semasa jerebu dan menyemak IPU di lokaliti masing-masing dengan melayari laman portal Jabatan Alam Sekitar (JAS) di alamat http://apims.doe.gov.my/ dan mengikuti saranan pihak berwajib bagi setiap julat bacaan IPU.
DATUK DR NOOR HISHAM ABDULLAH
KETUA PENGARAH KESIHATAN MALAYSIA
23 September 2019
Categories: Press
You must be logged in to post a comment.