Press

Kenyataan Akhbar KPK 1 Oktober 2019 – Wabak Demam Kuning (Yellow Fever) di Negara Nigeria

Vaccination record, international certificate of vaccination, syringe

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengambil maklum mengenai situasi wabak Demam Kuning yang melanda Nigeria sejak 1 Ogos 2019 yang dilaporkan dalam Nigeria CDC Situation Report yang diperolehi melalui Sistem Pemantauan Survelan Penyakit Berjangkit, Bahagian Kawalan Penyakit, KKM. Maklumat ini juga diperolehi daripada artikel daripada laman sesawang Xinhuanet.com yang melaporkan 16 kematian disebabkan Demam Kuning di Bauchi, Utara Nigeria pada 29 September 2019. Di antara sebab kematian adalah penolakan vaksin Demam Kuning di kalangan penduduk.

Demam Kuning adalah penyakit berjangkit bawaan nyamuk iaitu nyamuk aedes. Kebiasaannya 85% kes akan menunjukkan gejala ringan atau tidak menunjukkan sebarang gejala. Walaubagaimanapun bagi yang bergejala, pesakit akan mengalami demam, badan menggigil (chills), sakit badan, sakit kepala, loya dan muntah semasa fasa pertama. Sebanyak 15% daripada kes fasa pertama akan masuk ke fasa kedua di mana pesakit akan mengalami gejala demam dengan jaundis, sakit bahagian abdomen, muntah dan perdarahan dan sebanyak 50% daripada kes-kes di fasa kedua ini akan meninggal dunia.  Pengesahan kes boleh dibuat dengan ujian darah di makmal. Tiada rawatan khusus untuk penyakit Demam Kuning pada masa ini tetapi pengambilan vaksin Demam Kuning boleh mencegah daripada mendapat jangkitan penyakit tersebut.

Sehingga kini tiada kes Demam Kuning yang dilaporkan di Malaysia. Namun begitu, Malaysia mempunyai risiko transmisi jangkitan penyakit ini disebabkan oleh terdapatnya nyamuk Aedes. Virus Demam Kuning boleh dibawa masuk ke Malaysia melalui pelawat yang tiba dari negara-negara yang berisiko yang tidak mengambil vaksin Demam Kuning dan telah dijangkiti penyakit ini.

KKM terus mempertingkatkan langkah-langkah dalam usaha untuk mencegah kemasukan penyakit Demam Kuning ke dalam Negara selaras dengan keperluan Peraturan-peraturan Kesihatan Antarabangsa (International Health Regulations – IHR) 2005 dan Akta Pencegahan Penyakit Berjangkit  Kementerian Kesihatan 1988.

Antara tindakan yang telah diambil dan akan terus diperkukuhkan oleh KKM adalah:

  1. Bekerjasama dengan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) bagi membuat saringan sijil vaksinasi Demam Kuning di Pintu Masuk Antarabangsa (PMA) bagi mengesan pengembara-pengembara warganegara asing atau warganegara Malaysia yang tiba dari atau pernah melawat negara yang tersenarai sebagai berisiko mengalami transmisi Demam Kuning. Ini termasuk pengembara yang tidak mempunyai sijil vaksinasi antarabangsa Demam Kuning yang sah dan pengembara yang transit di negara yang berisiko melebihi 12 jam. Kegagalan mematuhi keperluan ini boleh menyebabkan pengembara dikuarantin di pusat kuarantin kesihatan untuk tempoh tidak melebihi enam (6) hari sebelum dibenarkan memasuki Malaysia. Ini bertujuan untuk mengelakkan penyebaran risiko jangkitan demam kuning ke dalam Malaysia. Pemantauan ke atas pengembara dari negara-negara berisiko Demam Kuning mendapati seramai 39,187 pengembara disaring pada tahun 2018 dan 21,853 pada tahun 2019 (Jan – Julai). Manakala jumlah pelawat yang tidak membawa sijil Demam Kuning yang sah pada tahun 2018 adalah 143 orang dan 29 orang dari Januari sehingga 30 Julai 2019. Pengembara-pengembara ini telah dikuarantin bagi memantau status kesihatan mereka sebelum dibenarkan memasuki Malaysia.
  2. Bekerjasama dengan Kementerian Pendidikan untuk memastikan keperluan vaksinasi di kalangan pelajar asing dari negara berisiko jangkitan dipatuhi.
  3. Mempertingkatkan kapasiti dan keupayaan di beberapa makmal terpilih untuk membuat ujian bagi mengesan virus Demam Kuning. Selain itu, survelan makmal bagi pengesanan virus penyebab demam kuning juga telah sedia dijalankan melalui aktiviti survelan makmal Flavivirus.
  4. Memperkukuhkan survelan, kawalan dan pencegahan nyamuk aedes termasuk aktiviti disinsektasi pesawat dan kapal bagi memastikan tiada potensi penyebaran jangkitan melalui nyamuk ini. Data-data dikompilasi dan dianalisa setiap bulan bagi memastikan tindakan yang diambil oleh anggota di lapangan mengikut Garispanduan Pengendalian Pengembara Yang Tiba Di Malaysia Dari Negara Berisiko Mengalami Transmisi Yellow Fever (Demam Kuning).
  5. Mempertingkatkan kewaspadaan di kalangan anggota kesihatan untuk pengesanan awal kes-kes Demam Kuning dan keperluan membuat notifikasi bagi tujuan mengawal dan mencegah perebakan penyakit.
  6. Bekerjasama dengan agensi berkaitan termasuk Kementerian Luar Negeri (KLN) dan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) untuk memberi kesedaran kepada pengembara mengenai keperluan suntikan Demam Kuning sekiranya mereka ingin ke negara yang berisiko.
  7. Menjalankan pemantauan terhadap acara-acara yang melibatkan peserta antarabangsa melalui kerjasama dengan penganjur termasuk agensi kerajaan dan bukan kerajaan yang terlibat.
  8. Menjalankan pemeriksaan terhadap klinik–klinik yang memohon untuk menjadi Pusat Vaksinasi Demam Kuning dan memberi pengiktirafan sekiranya mematuhi kriteria yang ditetapkan selaras dengan peraturan IHR 2005. Seterusnya pemantauan secara berkala dilakukan terhadap klinik-klinik ini bagi memastikan mereka sentiasa mematuhi kehendak dalam peraturan ini.
  9. Memberi kesedaran mengenai penyakit demam kuning dan keperluan vaksinasi kepada orang awam serta mengemaskini maklumat mengenai Demam Kuning dan negara berisiko jangkitan serta pusat vaksinasi yang diiktiraf oleh KKM. Orang ramai boleh mendapatkan maklumat ini laman sesawang KKM http://www.moh.gov.my/index.php/pages/view/1365?mid=550. Bahan cetakan termasuk pamphlet, bunting dan poster turut disediakan untuk memberi maklumat kepada orang ramai.
  10. Membuat komunikasi risiko kepada orang ramai yang mempunyai pertanyaan berkaitan maklumat Demam Kuning.

KKM ingin menasihati rakyat Malaysia yang ingin mengadakan lawatan ke negara-negara yang berisiko mengalami transmisi Demam Kuning agar mendapatkan suntikan vaksin Demam Kuning selewat-lewatnya 10 hari sebelum tarikh berlepas ke negara tersebut dan membawa bersama sijil imunisasi yang sah semasa mengadakan perjalanan keluar negara.  Vaksin Demam Kuning boleh diperolehi di Pusat vaksinasi Demam Kuning yang diiktiraf oleh KKM. KKM akan sentiasa memberi maklumat mengenai Demam Kuning ini dari semasa ke semasa.

 

DATUK DR NOOR HISHAM ABDULLAH

KETUA PENGARAH KESIHATAN MALAYSIA

1 Oktober 2019

Screenshot 2019-10-01 at 07.23.10

Categories: Press