Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) ingin memaklumkan bahawa, Bahagian Kawalan Penyakit, Kementerian Kesihatan telah menerima satu (1) notifikasi pada 12 Oktober 2019 berkaitan pesakit yang disyaki dijangkiti virus Zika dari Jabatan Kesihatan Negeri Perak. Ujian pengesahan dari Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) telah dilakukan pada 13 Oktober 2019 dan pesakit disahkan positif jangkitan virus Zika. Dengan pengesahan kes ini, menjadikan jumlah kes disahkan Zika adalah sebanyak sembilan (9) kes iaitu lapan (8) kes pada tahun 2016 dan satu (1) kes pada tahun 2019.
Pesakit merupakan seorang lelaki, warganegara Malaysia berumur 30 tahun. Pesakit mula mengalami gejala pada 26 September 2019 dengan gejala muntah dan cirit birit. Kes telah dimasukkan ke Hospital pada 27 September 2019 dan dipindahkan ke unit rawatan rapi pada 29 September 2019. Pesakit adalah dalam keadaan stabil dan masih berada di dalam wad. Tindakan kawalan telah dilaksanakan oleh Pejabat Kesihatan Daerah dengan aktiviti Pemeriksaan Tempat Pembiakan Aedes, Larvasiding untuk membunuh jentik-jentik, pengeluaran notis sekyesn 8 bagi membersihkan tempat pembiakan berisiko dan semburan ruang thermal.
KKM sentiasa memantau situasi penyakit Zika di seluruh Negara melalui Bilik Gerakan Zika di Crisis Preparedness Response Centre (CPRC), KKM. Bagi memastikan pemantauan dan pengurusan jangkitan Zika sentiasa di tahap yang optima, Surat Pekeliling berkaitan juga telah dibuat semakan dan diedarkan ke semua negeri iaitu “UPDATED ZIKA ALERT” DAN ARAHAN PENTADBIRAN UNTUK PEMANTAUAN DAN PENGURUSAN JANGKITAN VIRUS ZIKA SEMAKAN TAHUN 2019, bertarikh 10 Januari 2019.
Pada tahun 2016, sebanyak lapan (8) kes zika telah disahkan di Malaysia. Pada tahun 2017 dan 2018, tiada kes Zika yang disahkan di Malaysia. Berdasarkan pemantauan pada tahun 2018, yang dijalankan oleh Makmal Kesihatan Awam Kebangsaan (MKAK) dan IMR, bagi pesakit yang menunjukkan gejala penyakit Zika, sejumlah 3,178 sampel darah dan 15 sampel urin yang diuji memberi keputusan negatif untuk Zika virus. Manakala pada tahun 2019 iaitu sehingga 5 Oktober 2019, didapati 2,144 sampel darah dan 38 sampel urin pesakit yang menunjukkan gejala jangkitan virus Zika telah dibuat ujian makmal dan didapati negatif kepada Zika.
Penyakit Zika adalah disebabkan oleh virus Zika yang disebarkan oleh nyamuk Aedes, iaitu nyamuk yang sama menyebarkan penyakit demam Denggi dan Chikungunya. Pesakit yang dijangkiti Zika akan mengalami ruam dengan dua atau lebih gejala lain iaitu demam, sakit badan, sakit sendi, sendi bengkak atau mata kemerahan. Pesakit juga boleh mempunyai sejarah pergerakan ke negara yang dilanda jangkitan Zika tujuh (7) hari sebelum gejala bermula atau mempunyai sejarah kontak dengan pesakit yang disahkan dijangkiti virus Zika. Pesakit yang mempunyai gejala-gejala ini, diminta mendapatkan ujian dan rawatan lanjut dengan segera di fasiliti kesihatan berhampiran.
Bagi mencegah jangkitan virus Zika berlaku, masyarakat diminta melaksanakan aktiviti pencegahan seperti berikut:
- Membersihkan persekitaran serta mencari dan memusnahkan tempat pembiakan aedes di kediaman dan premis masing-masing setiap minggu.
- Menggunakan semburan aerosol bagi membunuh nyamuk dewasa di dalam rumah.
- Elakkan gigitan nyamuk dengan menggunakan repelan dan memakai pakaian berlengan panjang dan seluar panjang terutama apabila berada di luar rumah.
- Menggunakan bahan pembunuh jentik-jentik di dalam bekas takungan air kekal atau sukar dibersihkan.
- Memasang jaring nyamuk (mosquito mesh) di tingkap dan pintu rumah bagi menghalang nyamuk memasuki kediaman.
- Elakkan dari melawat negara yang dilanda jangkitan Zika.
Dalam masa yang sama, masyarakat diingatkan bahawa jangkitan Demam Denggi masih berada pada tahap tinggi, di mana sehingga 12 Oktober 2019, sejumlah 104,746 kes telah dilaporkan iaitu 80.1 peratus kenaikan berbanding tempoh yang sama pada tahun 2018 (58,155 kes). Manakala jumlah kematian juga telah meningkat kepada 152 kes berbanding 100 kematian pada tempoh yang sama tahun lepas. Tindakan pencegahan oleh masyarakat dalam menghapuskan tempat pembiakan Aedes boleh mencegah jangkitan Zika, Denggi dan Chikungunya.
“Tiada Aedes, Tiada Zika, Denggi dan Chikungunya”
Sekian, terima kasih.
DATUK DR NOOR HISHAM ABDULLAH
KETUA PENGARAH KESIHATAN MALAYSIA
15 Oktober 2019
Categories: Communicable disease, Dengue, Press, Zika
You must be logged in to post a comment.