Press

Kenyataan Akhbar KPK 2 November 2019 – Isu Penarikan Semula Produk Daging Khinzir dan Hasilan Khinzir dari Negara China Berikutan Kes Wabak African Swine Fever

Screenshot 2019-11-02 at 21.34.51

Sumber foto: Borneo Post Online

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengambil maklum mengenai isu produk Canned Luncheon Meat diimport dari negara China yang didakwa telah dikesan dengan DNA virus African Swine Fever (ASF) di Sarawak. Wabak African Swine Fever merupakan penyakit haiwan dan tidak menjangkiti manusia (iaitu bukan dikategorikan sebagai penyakit zoonotik yang boleh menjangkiti manusia samada melalui haiwan hidup atau produk hasilan khinzir).

KKM melalui Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan sedang bekerjasama dengan pihak Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) Negeri Sarawak dalam menangani perkara ini. KKM akan menjalankan pensampelan bagi tujuan verifikasi keberkesanan proses retort (iaitu salah satu proses dalam pemprosesan makanan) bagi produk hasilan khinzir bagi memastikan tiada pencemaran virus ASF. Seperti yang dimaklumkan oleh pihak Jabatan Perkhidmatan Veterinar, pengguna adalah dinasihatkan untuk mengelak daripada membeli produk ini termasuk belian atas talian, serta tidak memberikan produk atau sisa produk ini sebagai makanan kepada khinzir. Ini bagi mengurangkan risiko ASF menjangkiti khinzir yang memakan sisa makanan haiwan yang telah tercemar dengan virus ASF.

Untuk makluman, Seksyen 13A Akta Makanan 1983 telah memperuntukkan bahawa mana-mana pihak yang terlibat mengimport, mengedar, menyimpan atau menjual makanan yang ada dalam atau padanya apa-apa bahan binatang atau sayuran yang berpenyakit, kotor, reput atau bangar adalah melakukan kesalahan dan apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi RM50,000 atau penjara selama tempoh tidak melebihi 8 tahun atau kedua-duanya sekali.

KKM sentiasa peka dan prihatin terhadap perkara-perkara yang boleh mengancam kesihatan pengguna. Sekiranya pengguna mempunyai sebarang kemusykilan berhubung sebarang isu keselamatan makanan, sila hubungi Pejabat Kesihatan Daerah/Kawasan/Bahagian atau Jabatan Kesihatan Negeri terdekat atau melalui laman sesawang http://moh.spab.gov.my atau facebook Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan (BKKM) www.facebook.com/bkkmhq.

 

DATUK DR NOOR HISHAM ABDULLAH

KETUA PENGARAH KESIHATAN MALAYSIA

2 NOVEMBER 2019

Categories: Press