Press

Kenyataan Akhbar KPK 14 November 2019 – Penjelasan Isu Bahan Kimia Phthalate Dalam Plastik Pembungkus Makanan

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) ingin memaklumkan perkembangan terkini isu bahan kimia phthalate dalam plastik pembungkus makanan yang membahayakan kesihatan dan laporan akhbar The Star Online bertarikh 10 November 2019 bertajuk “Health Ministry To Look Into Harmful Chemical Found In Plastic Food Containers” adalah dirujuk. Bahan kimia phthalate yang digunakan untuk menghasilkan bahan pembungkus plastik didakwa boleh menyebabkan pelbagai kesan kesihatan seperti kanser, kerosakan hati, masalah reproduktif dan kecelaruan hormon.

Penggunaan bahan pembungkus yang berbahaya dan boleh memudaratkan kesihatan pengguna adalah dilarang di bawah Peraturan 27, Peraturan-Peraturan Makanan 1985. Kegagalan untuk mematuhi peraturan tersebut merupakan satu kesalahan dan jika sabit kesalahan, boleh didenda tidak melebihi RM10,000.00 atau dipenjarakan tidak melebihi dua (2) tahun.

KKM melalui Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan (BKKM) telah menjalankan pemantauan sejak tahun 2002 ke atas keselamatan bahan plastik, termasuklah pelbagai jenis pembungkus plastik, tin minuman aluminium, botol susu, puting kanak-kanak (pacifier), pembungkus gula-gula dan makanan ringan serta mainan kanak-kanak. Hasil pemantauan menunjukkan pencemaran phthalates dari plastik ke makanan adalah pada tahap yang tidak membahayakan kesihatan.

Pemantauan terkini yang dijalankan dari 2017 hingga kini ke atas 130 sampel makanan mendapati tiada bahan kimia phthalate di dalam sampel makanan yang berkenaan. Pemantauan yang dijalankan turut mendapati bahan pembungkus makanan yang terdapat di pasaran adalah selamat.

BKKM akan terus memantau bahan pembungkus plastik makanan yang digunakan di pasaran tempatan dan sentiasa mengikuti perkembangan saintifik di peringkat antarabangsa bagi memantau risiko terkini keselamatan makanan yang berpunca dari bahan pembungkus plastik.

Sebagai maklumat kepada pengguna, bekas dan bahan pembungkus makanan yang diperbuat dari plastik direka khusus berdasarkan sifat makanan. Terdapat tujuh (7) jenis kategori plastik yang boleh dikenalpasti melalui Nombor Identifikasi Plastik (NIP) yang terdapat pada bahan pembungkus. Setiap jenis NIP mempunyai ciri khas untuk makanan samada panas, sejuk dan berminyak. Pengguna adalah dinasihatkan mengikut kaedah penggunaan plastik makanan yang betul seperti yang disarankan pada bahan pembungkus plastik.

Sekiranya pengguna mempunyai sebarang kemusykilan berhubung sebarang isu keselamatan makanan, pengguna boleh menghubungi Pejabat Kesihatan Daerah atau Jabatan Kesihatan Negeri terdekat atau melalui laman sesawang http://moh.spab.gov.my atau facebook Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan (BKKM) www.facebook.com/bkkmhq.

DATUK DR. NOOR HISHAM ABDULLAH

KETUA PENGARAH KESIHATAN MALAYSIA

14 NOVEMBER 2019

Categories: Press