Press

Kenyataan Akhbar KPK 17 Disember 2019 – Penguatkuasaan oleh KKM secara Intensif dan Berterusan ke atas Premis Farmasi, Premis Klinik Perubatan Swasta dan lain-lain Premis di seluruh Negara

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengambil maklum laporan-laporan media mutakhir ini berkaitan tindakan penguatkuasaan yang dilaksanakan ke atas premis farmasi, premis klinik perubatan swasta dan lain-lain premis di seluruh negara.  Tindakan penguatkuasaan yang dilakukan oleh KKM melalui Bahagian Penguatkuasaan Farmasi (BPF) adalah bagi kes-kes yang disyaki melanggar peruntukan undang-undang di bawah Akta Racun 1952, Peraturan-peraturan Racun (Bahan-bahan Psikotropik) 1989, Akta Jualan Dadah 1952 dan Akta Ubat (Iklan dan Penjualan) 1956.

Sepanjang tempoh 2018 hingga 2019, sejumlah 3,162 bilangan aduan telah diambil tindakan oleh KKM melalui BPF yang melibatkan aduan produk, pelanggaran amalan profesional dan lain-lain.

Sebanyak 4,169 serbuan turut dijalankan ke atas premis farmasi berlesen, klinik perubatan swasta dan lain-lain premis yang melanggar peruntukan undang-undang dalam tahun 2017 hingga 2019 (Jadual 1). Serbuan ini melibatkan anggaran keseluruhan nilai rampasan mencecah RM 142 juta (Jadual 2).

KKM juga menjalankan tindakan pemantauan ke atas premis farmasi berlesen, klinik swasta dan lain-lain premis melalui aktiviti pemeriksaan yang dilakukan.  Dari tahun 2017 hingga 2019, sejumlah 37,418 bilangan pemeriksaan dilakukan ke atas premis farmasi berlesen, premis klinik dan lain-lain premis (Jadual 3).

Operasi khas ke atas bahan-bahan terkawal bahan psikotropik turut dilakukan bagi mengelakkan ia dipesong untuk tujuan yang tidak sah. Dalam tempoh tersebut juga sebanyak 675 operasi khas dilakukan ke atas klinik perubatan swasta dan premis farmasi.

KKM juga menjalankan tindakan penguatkuasaan terhadap laman sesawang dan media sosial yang mengiklankan dan menjual produk-produk kesihatan dilarang secara dalam talian di mana sejumlah 3,737 tindakan sekatan telah diambil dalam tempoh 3 tahun tersebut.

Aktiviti pemantauan iklan-iklan perubatan di semua media cetak, media elektronik dan internet turut dipertingkat bagi memastikan pengguna tidak terpengaruh dengan tuntutan-tuntutan yang tidak munasabah dibuat ke atas iklan tersebut. Notifikasi iklan dihantar kepada pengendali platform e–dagang. Lanjutan daripada notifikasi itu, 8,562 bilangan iklan oleh pengendali platform e-dagang telah diturunkan.

BPF juga mengambil tindakan pendakwaan ke atas kes-kes yang disiasat dan mempunyai bukti yang kukuh. Dari tahun 2017 hingga 2019 juga sebanyak 4,157 kes pendakwaan telah dijalankan untuk pelbagai jenis kesalahan (Jadual 4).

KKM sentiasa komited, proaktif dan telus dalam mengambil tindakan berlandaskan peruntukan undang-undang yang sedang berkuatkuasa. Tindakan yang diambil juga adalah menyeluruh ke atas pelbagai jenis kesalahan yang melibatkan pelbagai jenis premis. KKM juga sentiasa memastikan dan mendahulukan kesejahteraan rakyat dalam segala tindakan yang diambil.

Pihak KKM mengalu-alukan sebarang aduan daripada orang awam bagi membanteras penjualan ubat-ubat terkawal tanpa preskripsi, pelanggaran melibatkan penjualan dan pembekalan bahan-bahan psikotropik dan aktiviti pengiklanan yang melanggar peruntukan undang-undang sedia ada. Aduan boleh disalurkan melalui laman sesawang http://www.pharmacy.gov.my ATAU melalui portal Sistem Pengurusan Aduan Agensi Awam (SisPAA) di alamat http://moh.spab.gov.my ATAU mana-mana Cawangan Penguatkuasaan Farmasi yang berdekatan ATAU melalui talian 03-78413200.

 

DATUK DR NOOR HISHAM BIN ABDULLAH

KETUA PENGARAH KESIHATAN MALAYSIA

17 DISEMBER 2019

 

Screenshot 2019-12-17 at 6.32.55 PM

Screenshot 2019-12-17 at 6.33.04 PM

Screenshot 2019-12-17 at 6.36.23 PM

Screenshot 2019-12-17 at 6.37.02 PM

Categories: Press