Press

Kenyataan Akhbar KPK 23 Disember 2019 – Larangan Penyediaan Makanan di Premis Makanan yang Dinaiki Air Banjir

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengambil maklum isu premis makanan yang masih beroperasi walaupun dinaiki air banjir di negeri Kelantan dan laporan akhbar Harian Metro bertarikh 21 Disember 2019 bertajuk Mi Celup Banjir“ adalah dirujuk.

KKM melalui Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan memandang serius isu kebersihan dan keselamatan makanan di semua premis makanan termasuk yang masih beroperasi semasa banjir. KKM ingin menegaskan mana-mana tempat penyediaan makanan yang dinaiki air semasa banjir adalah tidak dibenarkan beroperasi selaras dengan kehendak di bawah Akta Makanan 1983 dan Peraturan-Peraturan Kebersihan Makanan 2009. Ini kerana air banjir adalah kotor dan mengandungi pelbagai jenis bakteria yang berisiko mencemari makanan.

Mana-mana pengusaha premis makanan yang didapati masih beroperasi menyediakan makanan di premis makanan yang dinaiki air banjir boleh dikenakan tindakan penutupan premis dan kompaun di bawah Akta Makanan 1983 dan Peraturan-Peraturan Kebersihan Makanan 2009.

Infografik - Banjir BKKM

KKM juga menasihati orang ramai supaya sentiasa peka dan prihatin kepada pemilihan premis makanan, penjagaan kebersihan dan keselamatan makanan semasa banjir. Ini termasuklah untuk minum air dan makan makanan yang telah dimasak sahaja, elakkan memakan makanan mentah seperti ulam-ulaman dan makanan yang terdedah, jaga kebersihan diri dan amalkan membasuh tangan sebelum makan dan selepas ke tandas serta dapatkan rawatan segera sekiranya mengalami gejala keracunan makanan seperti cirit-birit dan muntah.

Sekiranya mana-mana pihak mempunyai sebarang kemusykilan berhubung isu kebersihan dan keselamatan makanan semasa banjir, sila hubungi Pejabat Kesihatan Daerah/Kawasan/Bahagian atau Jabatan Kesihatan Negeri terdekat atau melalui laman sesawang http://moh.spab.gov.my atau facebook Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan (BKKM) www.facebook.com/bkkmhq.

 

DATUK DR. NOOR HISHAM ABDULLAH

KETUA PENGARAH KESIHATAN MALAYSIA

23 DISEMBER 2019

Categories: Press