Press

Kenyataan Akhbar KPK 27 Disember 2019 – Kempen Imunisasi Polio Sabah (KIPS) 2019/2020 Dewan Taman Telipok Ria, Taman Telipok Ria, Tuaran

Pelancaran Kempen Imunisasi Polio Sabah 2019/2020 atau nama pendeknya KIPS 2019/20 merupakan kempen Imunisasi Polio secara besar-besaran Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melalui Jabatan Kesihatan Negeri Sabah untuk membendung penularan jangkitan Polio di Malaysia, khususnya di negeri Sabah. KIPS dijalankan berikutan satu kes disahkan dijangkiti virus polio di negeri ini yang telah diumumkan oleh KKM melalui satu kenyataan akhbar pada 8 Disember 2019. Kes adalah seorang bayi lelaki warganegara Malaysia berumur tiga (3) bulan dari Tuaran.

Kempen Imunisasi Polio Sabah ini menyasarkan semua kanak-kanak yang berumur bawah 5 tahun yang warga negara dan juga bukan warga negara di semua daerah negeri Sabah. Mereka akan diberi imunisasi polio secara oral (oral polio vaccine – OPV).  Pemilihan OPV dalam membendung wabak polio ini adalah selaras dengan saranan dalam garispanduan antarabangsa iaitu Standard Operating Procedures: Responding to a Poliovirus Event or Outbreak.

Vaksin OPV ini akan membentuk antibodi dalam usus kanak-kanak. Virus polio yang memasuki badan melalui mulut, kemudian masuk ke perut dan usus akan dibunuh oleh antibodi dalam usus yang telah terbentuk hasil pemberian OPV. Proses ini akan membunuh virus polio sekiranya kanak-kanak dijangkiti.

Pemberian vaksin polio secara oral ini adalah selamat dan dapat memberi imuniti (perlindungan) kepada kanak-kanak terhadap jangkitan polio. Apabila liputan imunisasi OPV ini melebihi 95%, ia akan membentuk imuniti kelompok yang dapat mengurangkan risiko penularan virus polio. Vaksin ini tidak akan diberi kepada kanak-kanak yang mengidap penyakit dengan tahap imuniti rendah seperti leukaemia dan lymphoma, serta pesakit yang mengalami kanser yang sedang menerima rawatan kemoterapi. Pada masa yang sama, imunisasi rutin perlu diteruskan kepada kanak-kanak mengikut Jadual Imunisasi Kebangsaan di klinik-klinik kesihatan bagi memastikan perlindungan yang optimum kepada jangkitan polio dan lain-lain penyakit cegahan vaksin.

KIPS 2019/20 akan dimulakan di Daerah Tuaran dan akan dilanjutkan ke seluruh Sabah secara berfasa. Sasaran KIPS 2019/20 adalah anak-anak yang berumur bawah 5 tahun diberikan sebanyak dua dos imunisasi OPV menjelang bulan Jun 2020. Selang masa antara dos pertama dan dos kedua adalah empat (4) minggu.

Beberapa buah pasukan pemberi vaksin, melibatkan seramai 114 orang sukarelawan akan melaksanakan KIPS 2019/20 bermula pada 27 Disember 2019. Pasukan ini bertanggungjawab memberi maklumat kesihatan berkaitan polio dan memastikan ibu bapa dan penjaga yang mempunyai anak-anak berumur bawah 5 tahun hadir ke program ini untuk mendapatkan imunisasi polio. Lawatan rumah-ke-rumah untuk memberikan OPV kepada kanak-kanak yang layak akan dilaksanakan selepas ini secara berfasa, bagi memastikan tiada kanak-kanak yang cicir imunisasi polio.

Pihak KKM berharap agar ibu bapa memberi kerjasama dan sokongan kepada KIPS 2019/20 dengan membenarkan anak-anak mereka mendapatkan dua (2) dos imunisasi OPV. Hanya dengan imunisasi sahaja akan dapat melindungi anak-anak dari dijangkiti virus polio dan mencegah mereka dari kelumpuhan kekal. Langkah pencegahan polio ini juga penting bagi Malaysia mendapatkan semula pengiktirafan negara yang bebas polio dari Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

Sekian, terima kasih

 

Datuk Dr Noor Hisham Abdullah

Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia

27 Disember 2019

Categories: Press