Press

Kenyataan Akhbar KPK 27 Disember 2019 – Penjualan Pil Gugur Janin Melanggar Undang-Undang dan Penggunaanya Boleh Membawa Maut

Mutakhir ini, isu penjualan pil pengguguran janin seperti misoprostol secara dalam talian semakin memuncak. Pengambilan pil gugur tanpa pengawasan pengamal perubatan berdaftar boleh memberi implikasi seperti rahim terkoyak (uterine rupture), pendarahan tidak normal dan jangkitan kuman serta boleh membawa maut sekiranya tidak dirawat. Selain itu, pengambilan pil gugur juga boleh menyebabkan kelahiran bayi cacat sekiranya kandungan tersebut tidak berjaya digugurkan setelah ubat gugur kandungan tersebut diambil.

Misoprostol merupakan produk tidak berdaftar yang sering disalahgunakan tanpa pengawasan pengamal perubatan berdaftar untuk tujuan pengguguran janin. Pemegang pendaftaran produk tersebut telah membatalkan pendaftaran produk itu pada November 2016 menjadikannya sebagai produk tidak berdaftar dengan Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD) dan tidak dibenarkan untuk dijual di pasaran Malaysia. Selain Misoprostol, Mifepristone juga merupakan produk tidak berdaftar yang sering disalahgunakan untuk tujuan pengguguran janin.

Penjualan produk yang tidak berdaftar adalah melanggar Peraturan 7(1)(a), Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984 dan satu kesalahan di bawah Peraturan 30(1) peraturan yang sama dan boleh dihukum di bawah Seksyen 12(1) Akta Jualan Dadah 1952. Individu boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM25,000 atau penjara tidak melebihi 3 tahun atau kedua-duanya untuk kesalahan pertama dan denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak melebihi 5 tahun atau kedua-duanya untuk kesalahan berikutnya.

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah menerima sebanyak 51 aduan berkaitan penjualan pil gugur kandungan secara dalam talian yang disalahgunakan untuk aktiviti pengguguran haram dan penggunaan yang tidak dibenarkan oleh undang-undang sepanjang tahun 2018 hingga 2019. Dalam pada itu, sebanyak 24 serbuan mensasarkan ke atas produk ini telah dilaksanakan dari tahun 2016 hingga 2019 yang melibatkan nilai rampasan sebanyak RM95,233.

KKM turut berkerjasama rapat dengan agensi-agensi penguatkuasaan lain seperti Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM), CyberSecurity, dan Polis DiRaja Malaysia bagi mengekang kewujudan laman sesawang, media sosial dan lain-lain platform media baharu yang dikesan melanggar akta-akta yang dikuatkuasakan. Sejak 2016 hingga 2019 juga, sebanyak 302 laman sesawang telah disaring oleh KKM dan daripada jumlah tersebut, 98 laman sesawang telah dihantar kepada SKMM, Facebook, Twitter, dan YouTube untuk tindakan penutupan.

Selain itu, KKM melalui Bahagian Penguatkuasaan Farmasi (BPF) telah meningkatkan kerjasama dengan  pengendali platform e-dagang yang berpusat di Malaysia. Notifikasi dihantar kepada pengendali platform e-dagang agar menurunkan iklan-iklan berkenaan pil gugur janin.

Sumber pembekalan pil gugur janin disyaki diperolehi secara haram melalui pembelian secara atas talian atau penyeludupan dari negara luar. Penghantaran pil gugur tersebut kepada pembeli adalah menggunakan perkhidmatan pos dan kurier. KKM akan bekerjasama dengan syarikat perkhidmatan pos dan kurier dalam usaha untuk menyekat pembelian pil gugur secara dalam talian atau penyeludupan dari luar negara.

Ubat online tidak sahtips beli online

Orang ramai dinasihatkan supaya berhati-hati sewaktu membeli produk kesihatan yang dijual secara atas talian agar tidak mudah terpedaya dengan pengiklanan dan maklumat yang disiarkan. Orang ramai boleh menyemak kesahihan nombor pendaftaran produk atau notifikasi kosmetik dengan melayari portal Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) iaitu www.npra.gov.my.

Sebarang aduan berkaitan produk kesihatan dan iklan yang meragukan boleh disalurkan melalui portal Sistem Pengurusan Aduan Agensi Awam (SisPAA) di alamat http://moh.spab.gov.my ATAU mana-mana Cawangan Penguatkuasaan Farmasi yang berdekatan ATAU melalui talian 03-78413200 agar tindakan sewajarnya dapat diambil bagi membanteras penjualan produk seperti ini di pasaran.

 

DATUK DR NOOR HISHAM BIN ABDULLAH

KETUA PENGARAH KESIHATAN MALAYSIA

27 DISEMBER 2019

Categories: Press