Press

Kenyataan Akhbar KPK 30 Disember 2019 – Penguatkuasaan Penuh Ke Atas Larangan Merokok Di Tempat Makan Bermula 1 Januari 2020

Pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah mewartakan tempat makan di seluruh negara sebagai kawasan larangan merokok berkuatkuasa mulai 1 Januari 2019 dengan penguatkuasaan pendidikan selama dua belas (12) bulan dan diikuti dengan penguatkuasaan penuh bermula 1 Januari 2020. Ini merupakan perluasan pewartaan di tempat makan di bawah Peraturan 11(1)(d) Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau (PPKHT) 2004 pindaan 2018, berkuatkuasa mulai 1 Januari 2019.

Larangan merokok

Bagi tujuan penguatkuasaan penuh bermula 1 Januari 2020, mereka yang didapati merokok di kawasan larangan termasuk di semua tempat makan akan dikenakan kompaun sebanyak RM250. Mereka yang melakukan kesalahan pertama boleh dikurangkan kompaun kepada RM150 jika pembayaran dijelaskan di mana-mana Pejabat Kesihatan Daerah dalam tempoh SATU BULAN daripada tarikh izin kompaun diterima. Bagi kesalahan kedua, tiada pengurangan kompaun diberikan dan bayaran penuh kompaun sebanyak RM250 akan dikenakan. Kompaun lebih tinggi iaitu sebanyak RM350 akan dikenakan bagi mereka yang melakukan kesalahan kali ketiga dan seterusnya.

Di bawah Peraturan 12, PPKHT 2004, semua Tuan Punya Premis hendaklah memastikan tempat makan mereka bebas daripada sebarang bentuk amalan merokok dengan tidak menyediakan kemudahan merokok seperti bekas abu rokok, perkhidmatan menjual shisha serta lain-lain kemudahan merokok. Tuan Punya Premis juga hendaklah memastikan tanda larangan merokok yang mencukupi serta jelas dipamerkan di bahagian yang mudah dilihat di tempat makan. Bagi tujuan penguatkuasaan penuh bermula 1 Januari 2020, Tuan Punya Premis boleh dikenakan kompaun sebanyak RM250 bagi kesalahan pertama dan kedua manakala bagi kesalahan kali ketiga dan seterusnya, kompaun yang lebih tinggi iaitu sebanyak RM350 akan dikenakan.

Sehubungan dengan itu, kerjasama dan sokongan daripada semua pihak terutama Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan adalah amat diperlukan bagi memastikan pelaksanaan penguatkuasaan PPKHT 2004 sepenuhnya bermula pada 1 Januari 2020 berjalan lancar demi kesihatan dan kesejahteraan rakyat Malaysia. Bagi golongan perokok yang berhasrat untuk berhenti merokok, mereka dialu-alukan untuk mendapatkan khidmat nasihat di semua perkhidmatan berhenti merokok mQuit yang telah disediakan di semua klinik kesihatan dan hospital kerajaan di seluruh negara atau di mana-mana fasiliti perkhidmatan berhenti merokok mQuit swasta yang telah diberikan akreditasi. Mereka juga  boleh mendapatkan maklumat serta berdaftar  melalui laman sesawang http://jomquit.moh.gov.my atau menghubungi talian untuk maklumat lanjut.  Semoga langkah-langkah yang telah diambil dapat membantu melahirkan generasi yang lebih sihat dan bebas dari sebarang bentuk amalan merokok.

"KE ARAH GENERASI BEBAS DARIPADA SEBARANG BENTUK AMALAN MEROKO"

DATUK DR NOOR HISHAM BIN ABDULLAH

KETUA PENGARAH KESIHATAN MALAYSIA

30 Disember 2019

Categories: Press