Press

Kenyataan Akhbar KPK 31 Disember 2019 – Makluman Mengenai Situasi Semasa bagi Tren Jangkitan Influenza di Malaysia

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengambil maklum mengenai sejumlah berita yang tular dalam kalangan pengguna media sosial di Malaysia mengenai peningkatan jangkitan influenza. Untuk makluman semua, jangkitan influenza tidak tertakluk kepada keperluan pelaporan / notifikasi di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342). Oleh yang demikian, di peringkat KKM, tiada rekod bagi setiap satu kes jangkitan influenza yang berlaku di Malaysia. Walau bagaimanapun, KKM masih memantau aktiviti influenza ini dengan menggunakan data proksi yang direkodkan dari aktiviti survelan melibatkan beberapa lokasi sentinel dikenalpasti dari seluruh negara. Bagi negara-negara beriklim tropika seperti Malaysia, jangkitan influenza dilaporkan berlaku sepanjang tahun, namun dalam julat yang kecil. Ini berbeza berbanding negara-negara yang beriklim sederhana dan sejuk, di mana jangkitan influenza ini berlaku secara bermusim – khususnya pada musim sejuk. Sehubungan itu, pemantauan aktiviti influenza ini dilakukan sepanjang tahun bagi mengenalpasti tren jangkitan influenza di Malaysia dan mengesan sekiranya terdapat perubahan luar biasa pada virus influenza ini.

Pemantauan survelan influenza meliputi kadar konsultasi kes influenza like-illness (ILI) dan kadar kemasukan pesakit ke wad dengan severe acute respiratory infection (SARI). Selain itu, kejadian wabak yang berkaitan dengan jangkitan saluran pernafasan juga dipantau secara harian. Makmal Kesihatan Awam Kebangsaan Sungai Buloh dan Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) juga bertanggungjawab bagi memantau sebarang perubahan kepada virus influenza yang terdapat di Malaysia.

Justeru, berdasarkan tren yang direkodkan dari aktiviti survelan tersebut, terdapat sedikit peningkatan kes ILI dan SARI semenjak pertengahan bulan Disember 2019. Namun begitu, peningkatan yang direkodkan masih berada dalam julat normal dan hampir sama dengan tahun-tahun sebelumnya. Begitu juga, tiada peningkatan ketara bagi kejadian wabak jangkitan saluran pernafasan dilaporkan dalam tempoh yang sama. Manakala, analisa terhadap virus influenza yang dikesan dari aktiviti survelan ini tidak menunjukkan sebarang tanda ianya telah mengalami mutasi sehingga mencetuskan kemunculan virus influenza yang baru (novel virus).

inluenza berjangkit

Influenza merupakan jangkitan dengan gejala utama seperti demam selsema atau flu, sakit tekak, batuk dan gejala lain seperti sakit kepala, sakit otot, sakit sendi dan kelesuan. Demam selsema atau flu adalah sangat mudah berjangkit. Oleh itu, penularan menjadi lebih mudah berlaku di tempat-tempat yang padat seperti sekolah, asrama, tempat kerja tertutup, institusi latihan, serta kem-kem tentera atau polis. Wabak yang disebabkan virus influenza bermusim hanya menyebabkan demam selsema (flu) yang ringan pada orang biasa tetapi boleh menyebabkan jangkitan yang teruk kepada kumpulan berisiko tinggi seperti kanak-kanak, warga tua, wanita mengandung dan mereka yang mempunyai penyakit-penyakit kronik seperti kencing manis, darah tinggi, lelah dan lain-lain. Komplikasi akibat jangkitan influenza teruk yang dialami oleh golongan berisiko tinggi ini juga berpotensi untuk menyebabkan kematian.

Sehubungan itu, orang awam secara amnya dan golongan berisiko tinggi secara khususnya adalah amat digalakkan untuk mendapatkan pelalian vaksin influenza bermusim yang ditawarkan oleh kebanyakan fasiliti kesihatan swasta di seluruh negara. Sebagai langkah-langkah pencegahan penularan jangkitan influenza, KKM ingin mengingatkan orang ramai agar sentiasa mengekalkan tahap kebersihan diri yang tinggi, amalan kerap membasuh tangan dengan menggunakan air dan sabun atau hand sanitizer, mengamalkan adab batuk yang baik dan mengamalkan cara hidup sihat. Bagi mereka yang mempunyai gejala jangkitan influenza adalah dinasihatkan untuk mengamalkan perkara-perkara berikut:

  • Berehat di rumah dan tidak pergi ke tempat tumpuan ramai. Sekiranya perlu ke tempat awam, mereka dinasihatkan untuk memakai penutup hidung dan mulut (face mask) dengan betul bagi mengelakkan penularan jangkitan melalui titisan pernafasan;
  • Menutup hidung dan mulut dengan tisu, tuala atau sapu tangan apabila batuk atau bersin. Seterusnya, tisu yang telah digunakan perlu dibuang dengan segera ke dalam tong sampah;
  • Mengelakkan dari berkongsi peralatan peribadi seperti tuala, sapu tangan dan sebagainya dengan individu yang lain;
  • Segera berjumpa dengan doktor untuk pemeriksaan bagi mendapatkan rawatan lanjut sekiranya gejala bertambah teruk seperti demam dan batuk / sakit tekak yang berterusan.

 

Sekian, terima kasih.

 

DATUK DR. NOOR HISHAM BIN ABDULLAH

Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia

31 Disember 2019

 

etika batuk

Categories: Press