Press

Kenyataan Akhbar KPK 2 Januari 2020 – Maklumbalas Aktiviti Penguatkuasaan Tempat Makan Sebagai Tempat Dilarang Merokok Di Seluruh Malaysia Pada 1 Januari 2020

Pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah menjalankan penguatkuasaan larangan merokok di bawah Peraturan 11(1)(d) Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau (PPKHT) 2004 pindaan 2018 bermula 1 Januari 2020 iaitu larangan merokok di semua tempat makan termasuk tempat makan terbuka. Selain daripada itu, penguatkuasaan juga dijalankan di bawah Peraturan 12 (1) (a) dan 12(1) (b) Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau (PPKHT) 2004 iaitu semua Tuan Punya Premis hendaklah memastikan tempat makan mereka bebas daripada sebarang bentuk amalan merokok dengan mempamerkan larangan merokok secara jelas dan tidak menyediakan kemudahan merokok seperti bekas abu rokok, perkhidmatan menjual shisha serta lain-lain kemudahan merokok.

Penguatkuasaan serentak yang telah berjalan pada 1 Januari 2020 bermula jam 8 pagi sehingga tengah malam di seluruh Malaysia melibatkan seramai 2087 orang Pegawai Penguatkuasa daripada KKM telah memeriksa 6119 premis tempat makan. Sepanjang penguatkuasaan dijalankan sejumlah 605 notis kesalahan dengan jumlah kompaun sebanyak RM 144,450.00 telah dikeluarkan di mana 34 notis kesalahan adalah dikeluarkan kepada  golongan orang belum dewasa.

Seterusnya sebanyak 103 notis kesalahan dengan jumlah kompaun bernilai RM 25,750.00 telah dikeluarkan kepada Tuan Punya Premis dengan 79 notis kesalahan kerana gagal mempamerkan tanda larangan merokok dan 24 notis kesalahan kerana menyediakan kemudahan merokok.

Bagi mereka yang telah menerima notis kesalahan kerana merokok di tempat makan dikenakan kompaun sebanyak RM 250. Mereka yang melakukan kesalahan pertama boleh dikurangkan kompaun kepada RM 150 jika pembayaran dijelaskan di mana-mana Pejabat Kesihatan Daerah dalam tempoh SATU bulan daripada tarikh izin kompaun diterima. Bagi kesalahan kedua, tiada pengurangan kompaun diberikan dan bayaran penuh kompaun sebanyak RM 250 akan dikenakan. Kompaun lebih tinggi iaitu sebanyak RM 350 akan dikenakan bagi mereka yang melakukan kesalahan kali ketiga dan seterusnya.

Di bawah Peraturan 12 (1) (a) dan 12 (1) (b), Tuan Punya Premis yang telah menerima notis kesalahan dikenakan kompaun sebanyak RM 250 bagi kesalahan pertama dan kedua manakala bagi kesalahan kali ketiga dan seterusnya, kompaun yang lebih tinggi iaitu sebanyak RM 350.

Secara rumusan melalui tinjauan di lapangan, rata-rata tuan punya premis telah memberikan kerjasama dan menjalankan tanggungjawab mereka di dalam melaksanakan penguatkuasaan larangan merokok di tempat makan.  Peratusan kesalahan yang dilakukan oleh Tuan Punya Premis jika dibandingkan dengan bilangan premis yang dilawati  telah menurun daripada 47% pada hari pertama Januari 2019 kepada 1.7 % pada hari pertama Januari 2020. Namun begitu, bilangan perokok yang merokok di tempat makan masih tinggi dengan 10% perokok didapati merokok di premis yang dilawati.  Pihak KKM memohon kerjasama semua pihak agar mematuhi larangan merokok ini  bagi memastikan kesihatan masyarakat terjamin.

Bagi golongan perokok yang berhasrat untuk berhenti merokok, mereka dialu-alukan untuk mendapatkan khidmat nasihat di semua perkhidmatan berhenti merokok mQuit yang telah disediakan di semua klinik kesihatan dan hospital kerajaan di seluruh negara atau di mana-mana fasiliti perkhidmatan berhenti merokok mQuit swasta yang telah diberikan akreditasi. Mereka juga  boleh mendapatkan maklumat serta berdaftar  melalui laman sesawang http://jomquit.moh.gov.my atau menghubungi talian 03-8883 4400 untuk maklumat lanjut.

 

“KE ARAH GENERASI BEBAS DARIPADA SEBARANG BENTUK

AMALAN MEROKOK”

 

Datuk Dr Noor Hisham Bin Abdullah

Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia

2 Januari 2020

Categories: Press