Press

Kenyataan Akhbar KPK 5 Januari 2020 – Kejadian Keracunan Makanan di Sebuah Pusat Latihan, Cheras, Kuala Lumpur

Kementerian Kesihatan Malaysia melalui Jabatan Kesihatan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya (JKWPKL&P) telah menerima laporan mengenai satu kejadian keracunan makanan melibatkan guru-guru Tadika PASTI seluruh Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur yang sedang menghadiri kursus di sebuah pusat latihan di Cheras, Kuala Lumpur pada 5 Januari 2020. Makluman awal diterima oleh Pejabat Kesihatan Cheras (PKC) pada pukul 3.03 petang daripada Jabatan Kecemasan, Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM) bahawa terdapat peserta kursus yang mengalami gejala muntah, sakit perut dan cirit-birit telah mendapatkan rawatan di hospital tersebut.

Siasatan lanjut oleh pihak PKC di HCTM dan pusat latihan mendapati terdapat 137 orang dari 280 peserta kursus yang terdedah juga mengalami gejala yang sama dengan empat (4) orang peserta yang telah dimasukkan ke wad.  Kesemua kes adalah di dalam keadaan stabil dan selebihnya telah diberikan rawatan sebagai pesakit luar.  Makanan yang disyaki penyebab kejadian keracunan makanan ini adalah ayam masak lemak yang dimakan pada waktu makan malam di dewan pusat latihan tersebut pada hari kejadian. Sampel klinikal dari kes-kes serta sampel makanan telah diambil dan dihantar ke makmal untuk di analisa. Siasatan lanjut masih dilakukan oleh pihak PKC bagi mengenalpasti punca sebenar kejadian keracunan makanan ini.

Premis dapur kafetaria pusat latihan tersebut telah ditutup di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 bagi tujuan siasatan lanjut dan disinfeksi keseluruhan premis dan akan dibuka semula sebaik sahaja penambahbaikan dibuat oleh pihak pengurusan kafetaria tersebut. Pihak pengurusan kafetaria juga diminta untuk menyimpan “holding sample” bagi setiap kali kursus dijalankan di pusat berkenaan.

kunci keselamatan makanan

Orang ramai tidak perlu khuatir dengan kejadian wabak yang berlaku kerana keadaan adalah terkawal dan dinasihatkan untuk mengamalkan langkah lihat, hidu dan rasa sebelum mengambil makanan bagi mengelakkan kejadian keracunan makanan. Sentiasa amalkan kebersihan diri seperti basuh tangan sebelum mengendalikan makanan dan selepas menggunakan tandas.

Sekian, terima kasih

 

DATUK DR. NOOR HISHAM BIN ABDULLAH

KETUA PENGARAH KESIHATAN MALAYSIA

5 DISEMBER 2020

 

peti sejuk.png

Categories: Press