Press

Kenyataan Akhbar KPK 6 Januari 2020 – Penjelasan Isu Larangan Penjualan Air Zam-Zam Di Pasaran

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengambil maklum isu mengenai larangan penjualan Air Zam Zam di pasaran yang disiarkan oleh Buletin TV3 pada 4 Januari 2020 serta yang tular di media sosial berkaitan larangan tersebut. Untuk makluman, Kenyataan Akhbar Ketua Pengarah Kesihatan berkaitan larangan penjualan air zam zam di pasaran dan isu air zam zam tiruan pernah dikeluarkan pada 13 Mei 2015 dan 9 Disember 2017.

Air zam zam dikategorikan sebagai air mineral semulajadi dan termaktub di bawah Peraturan 360A, Peraturan-Peraturan Makanan 1985. Pengimportan air mineral semulajadi memerlukan lesen punca air KKM setelah mendapat pengesahan pihak berkuasa geologi dan hidrologi dari negara pengeksport. Dalam hal ini, kerajaan Arab Saudi tidak mengeluarkan pengesahan tersebut kerana air zam zam tidak boleh diperdagangkan. Justeru, tiada pengedar atau syarikat yang telah mendapat lesen bagi pengimportan dan penjualan air zam zam.

kenyataan KEDUTAAN arab saudi

Screenshot 2020-01-06 at 11.44.23 AM.png

Zamzam water is among seven products that are prohibited from being exported from Saudi Arabia. Source: Al-Arabiya

Kerajaan Arab Saudi juga melalui kedutaannya di Malaysia pada tahun 2011 dan 2015 telah mengeluarkan kenyataan mengesah dan menegaskan tidak mengeksport air zam zam ke luar negara. Sehubungan itu, penjualan air zam zam di pasaran tempatan dikhuatiri adalah tiruan.

KKM melalui Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan (BKKM) sentiasa menjalankan penguatkuasaan terhadap penjualan air minuman berbungkus dan air mineral semulajadi yang tidak berlesen. Daripada hasil penguatkuasaan yang dijalankan sejak tahun 2012 hingga kini sejumlah RM77,358.30 air yang dilabel sebagai air zam zam telah dirampas.

Di bawah Peraturan-Peraturan Makanan 1985, mana-mana orang yang disabitkan kesalahan menjual air minuman berbungkus dan air mineral semulajadi yang tidak berlesen boleh dikenakan denda tidak melebihi RM10,000.00 atau penjara tidak melebihi dua (2) tahun.

KKM menasihati orang ramai tidak membeli air yang dilabel sebagai air zam zam di pasaran tempatan kerana dikhuatiri tiruan. KKM juga menyeru orang ramai supaya dapat membantu menyalurkan sebarang maklumat penjualan air yang dilabel air zam zam di pasaran kepada Pejabat Kesihatan Daerah atau Jabatan Kesihatan Negeri terdekat atau melalui laman sesawang http://moh.spab.gov.my atau Facebook BKKM http://www.facebook.com/bkkmhq.

 

DATUK DR. NOOR HISHAM BIN ABDULLAH

KETUA PENGARAH KESIHATAN MALAYSIA

6 JANUARI 2020

 

Categories: Press