Press

Kenyataan Akhbar Presiden MPM 22 Januari 2020 – Primary Source Verification (PSV) bagi Semua Ijazah dan Transkrip Pengamal Perubatan yang Bergraduat dari Institusi Luar Negara bagi Tujuan Pendaftaran dengan Majlis Perubatan Malaysia

Mesyuarat Majlis Perubatan Malaysia (MPM) kali ke-395 yang telah bersidang pada 21 Januari 2020 telah memutuskan bahawa semua pengamal perubatan yang bergraduat dari luar negara yang ingin berdaftar dengan Majlis Perubatan Malaysia wajib melalui proses Primary Source Verification bagi tujuan pengesahan ijazah dan transkrip mereka berkuatkuasa 1 Jun 2020.

Proses Primary Source Verification ini adalah bertujuan untuk memastikan kesahihan sijil ijazah dan transkrip mereka sebelum berdaftar dengan MPM dan secara langsung bagi mengelakkan sebarang kes pemalsuan sijil-sijil tersebut.

Semua pengamal perubatan warganegara dan bukan warganegara yang bergraduat dari luar negara bagi tujuan pendaftaran dengan MPM iaitu bagi tujuan permohonan Sijil Pendaftaran Penuh, Sijil Pendaftaran Sementara, Sijil Perakuan Amalan Sementara, pendaftaran bagi tujuan pasca-siswazah / latihan klinikal pasca-siswazah / fellowship / clinical attachment diwajibkan untuk melalui proses verifikasi ini sebelum didaftarkan. Pengamal perubatan yang bergraduat dari institusi dalam negara tidak perlu melalui proses ini.

Pihak MPM telah melantik dua badan bagi tujuan proses Primary Source Verification tersebut iaitu DataFlow Group dan Educational Commission for Foreign Medical Graduates (ECFMG). Proses Primary Source Verification ini melibatkan pembayaran fi berdasarkan dokumen yang ingin disahkan dan bayaran ini ditetapkan oleh badan yang mengendalikan proses tersebut dan kesemua kos pembayaran perlu ditanggung oleh pengamal perubatan sendiri. Pihak MPM tidak terlibat dalam penentuan fi bayaran yang dikenakan dan semua urusan verifikasi perlulah dilaksanakan oleh pengamal perubatan tersebut.

Adalah menjadi tanggungjawab semua pengamal perubatan yang bergraduat dari luar negara sama ada warganegara atau bukan warganegara yang ingin berdaftar dengan MPM untuk melalui proses verifikasi tersebut dalam tempoh yang lebih awal supaya proses permohonan pendaftaran dengan pihak MPM adalah tidak tergendala.

Pihak MPM berhak menolak mana-mana permohonan pendaftaran seperti yang dinyatakan di atas sekiranya tidak memenuhi proses verifikasi yang tersebut berkuatkuasa 1 Jun 2020.

 

Sekian, terima kasih.

 

DATUK DR. NOOR HISHAM ABDULLAH

PRESIDEN

MAJLIS PERUBATAN MALAYSIA

22 JANUARI 2020

Categories: Press