Press

Kenyataan Akhbar KPK 24 Januari 2020 – Tindakan KKM Bagi Pengesanan Kontak (Contact Tracing) kepada Kes Pertama Positif Novel Coronavirus di Negara Singapura pada 24 Januari 2020

Pada 23 Januari 2020, negara Singapura telah memaklumkan satu kes import novel coronavirus (2019-nCoV) melibatkan seorang lelaki, warganegara China dari Wuhan berumur 66 tahun. Berikutan dengan pelaporan tersebut, Kementerian Kesihatan Singapura telah menghubungi Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk memaklumkan terdapat seramai lapan (8) orang kontak rapat dengan kes tersebut yang sedang berada di Johor Bahru, Malaysia. Lapan kontak tersebut adalah terdiri daripada empat (4) orang dewasa dan empat (4) orang kanak-kanak dan kesemuanya adalah dari negara China.

Dengan perkongsian maklumat tersebut pihak Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Johor telah bertindak segera dengan mengesan kesemua kontak tersebut berkenaan dan melakukan saringan kesihatan bagi memeriksa status kesihatan mereka.  Hasil saringan menunjukkan mereka sihat dan tiada tanda-tanda ataupun gejala jangkitan sehingga hari ini. Sampel klinikal juga telah diambil di kalangan kontak ini untuk ujian pengesanan 2019-nCoV. Jabatan Kesihatan Negeri Johor akan terus memantau tahap kesihatan harian mereka sehingga 14 hari atau sehingga mereka pulang ke negara asal atau yang mana terdahulu.

Thermal scanning

Sehingga 24 Januari 2020, tiada kes yang disahkan novel coronavirus (2019-nCoV) dilaporkan kepada JKN Johor, mahupun kepada KKM. Kementerian Kesihatan Malaysia merakamkan penghargaan di atas kerjasama rapat dan perkongsian maklumat kesihatan berkaitan yang diberikan oleh Kementerian Kesihatan Singapura. Kolaborasi dua hala ini akan terus diperkukuhkan di antara Kementerian Kesihatan kedua-dua negara. KKM akan terus memantau perkembangan terkini wabak 2019-nCoV di China dari semasa ke semasa melalui maklumat yang diperolehi daripada pihak Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dan sumber-sumber rasmi yang lain.

Sekian, terima kasih.

DATUK DR.NOOR HISHAM BIN ABDULLAH

KETUA PENGARAH KESIHATAN MALAYSIA

24 JANUARI 2020

 

Health precaution 2Health precaution

Categories: Press