Press

Kenyataan Akhbar KPK 1 Februari 2020 – Situasi Terkini Jangkitan 2019 Novel Coronavirus (2019-nCoV) di Malaysia

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengambil maklum bahawa Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) telah mengadakan mesyuarat International Health Regulations (IHR) Emergency Committee buat kali kedua pada 30 Januari 2020 berkaitan wabak 2019 novel coronavirus (2019-nCoV) di negara China dengan berlakunya penularan ke negara-nagara lain. Ia adalah susulan daripada peningkatan kes jangkitan 2019-nCoV yang ketara di peringkat global dan juga peningkatan jumlah negara yang melaporkan kes positif 2019-nCoV. Berdasarkan perkembangan semasa wabak ini dan hasil Mesyuarat kali kedua ini, Ketua Pengarah WHO telah bersetuju untuk mengisytiharkan wabak 2019-nCoV sebagai Public Health Emergency of International Concern (Kecemasan Kesihatan Awam yang Menjadi Kepentingan Antarabangsa – PHEIC).

Dengan pengisytiharan PHEIC ini, antara saranan sementara (temporary recommendations) yang dikeluarkan oleh pihak WHO kepada negara-negara anggota adalah untuk memperkukuhkan aktiviti survelan, pengesanan awal, pengurusan kes dan isolasi, pengurusan kontak rapat dan pencegahan penularan jangkitan 2019-nCoV. WHO juga menekankan kepentingan Negara Ahli agar berkongsi maklumat terkini jangkitan 2019-nCoV dengan pihak WHO. Untuk makluman, langkah-langkah kesiapsiagaan dan respon yang sedang dilaksanakan oleh KKM adalah selaras dengan saranan pihak WHO. Tambahan kepada kesiapsiagaan dan respon sedia ada, KKM juga terus mempertingkatkan kesiapsiagaan bagi menghadapi kemungkinan yang di luar jangka di samping bekerjasama dengan semua agensi yang berkaitan.

Berhubung perkembangan terkini kejadian 2019-nCoV di Malaysia, sehingga 1 Februari 2020 jam 12 tengahari, tiada pertambahan kes positif 2019-nCoV. Jumlah kumulatif kes positif 2019-nCoV yang dilaporkan kekal lapan (8) kes iaitu tiga (3) di kalangan Patient Under Investigation (PUI) dan lima (5) di kalangan kontak rapat (close contacts). Jumlah kumulatif kes PUI jangkitan 2019-nCoV adalah seramai 142 orang dan enam (6) orang masih menunggu keputusan makmal. Kontak rapat kepada kes positif 2019-nCoV, kekal seramai 32 orang.

KKM mengambil maklum penularan di media sosial baru-baru ini mengenai seorang pesakit disyaki 2019-nCoV yang enggan diletakkan di bawah Perintah Pengawasan dan Pemerhatian di sebuah hospital di Selangor. Melalui siasatan yang telah dijalankan, pesakit tersebut adalah warganegara Malaysia dan mempunyai sejarah melawat Wuhan, China. Setelah pihak hospital membuat laporan polis, pesakit disyaki ini telah berjaya dikesan dan dimasukkan ke dalam wad untuk siasatan dan rawatan. Keputusan sampel klinikal yang diambil pada 31 Januari 2020, dilaporkan negatif 2019-nCoV. KKM ingin mengambil peluang ini untuk mengucapkan terima kasih kepada pihak Polis DiRaja Malaysia di atas kerjasama yang telah diberikan dalam mengesan pesakit disyaki ini.

KKM akan terus memantau perkembangan kejadian jangkitan ini melalui maklumat yang diperolehi daripada pihak WHO. Orang ramai akan sentiasa dimaklumkan perkembangan terkini mengenainya. Sila hubungi infoline Crisis Preparedness and Response Centre (CPRC) KKM di talian 03-8881 0200 / 600 / 700 atau di e-mel cprc@moh.gov.my untuk mendapatkan sebarang maklumat mengenai jangkitan 2019-nCoV.

Sekian, terima kasih.

 

DATUK DR. NOOR HISHAM BIN ABDULLAH

KETUA PENGARAH KESIHATAN MALAYSIA

1 Februari 2020

Categories: Press