Press

Kenyataan Akhbar KPK 9 Februari 2020 – Situasi Terkini Jangkitan 2019-nCoV dan Pengesanan Kes Baharu di Malaysia

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) ingin melaporkan mengenai satu (1) kes baharu 2019 novel coronavirus (2019-nCoV) iaitu kes ke-17 yang dilaporkan ke Crisis Preparedness and Response Centre (CPRC) Kebangsaan pada hari ini.

KES BAHARU KE-17

Kes baharu tersebut adalah seorang wanita warganegara Malaysia berumur 65 tahun yang merupakan ibu mertua kepada kes warganegara Malaysia yang dilaporkan pada 4 Februari 2020 yang lalu (iaitu kes ke-9). Beliau mempunyai beberapa penyakit kronik sedia ada seperti tekanan darah tinggi, kencing manis, lumpuh separuh badan, seorang pesakit jantung yang menggunakan perentak jantung (pacemaker) serta pergerakan yang terhad. Beliau mempunyai kontak langsung dengan kes indeks (kes ke-9) semasa duduk semeja bagi beberapa jamuan makan sempena sambutan Tahun Baru Cina bersama-sama ahli keluarga yang lain pada 26, 27 dan 28 Januari 2020.

Sepanjang 29 Januari hingga 4 Februari 2020, beliau memaklumkan hanya berada di rumah. Pada 5 Februari 2020, beliau mengadu kurang sihat iaitu mengalami pening kepala, berpeluh dan tidak bermaya tetapi tiada demam. Beliau seterusnya telah dibawa untuk mendapatkan rawatan sebagai pesakit luar di salah sebuah hospital swasta. Sejurus selepas itu, beliau dibenarkan pulang ke rumah dengan temujanji susulan pada 7 Februari 2020.

Sebaik sahaja menantunya, iaitu kes indeks (kes ke-9) dikesan positif 2019-nCoV, beliau telah dijejaki oleh pihak Pejabat Kesihatan Daerah (PKD). Hasil siasatan mendapati beliau tidak mempunyai sejarah perjalanan ke negara China. Sebagai sebahagian daripada aktiviti siasatan, sampel telah diambil daripada beliau dan ahli keluarga yang lain. Ujian pengesanan dan pengesahan 2019-nCoV yang dijalankan ke atasnya telah dilaporkan positif pada 8 Februari 2020, manakala bagi lain-lain ahli keluarganya adalah negatif.

Beliau kini telah dimasukkan ke wad isolasi di Hospital Sungai Buloh dan berada dalam keadaan stabil. Aktiviti pengesanan kontak masih dijalankan dan akan dimaklumkan dari semasa ke semasa.

SITUASI SEMASA 2019-nCoV DI MALAYSIA

Dengan pertambahan satu (1) kes baru ini, jumlah kumulatif kes 2019-nCoV yang dilaporkan sehingga hari ini adalah sebanyak 17 kes; iaitu tujuh (7) kes dalam kalangan kes Patient-Under-Investigation (PUI) jangkitan 2019-nCoV, lapan (8) kes dalam kalangan kontak rapat dan dua (2) kes dalam kalangan rakyat Malaysia yang dibawa pulang dengan Misi Bantuan Kemanusiaan. Daripada jumlah tersebut, dua belas (12) kes adalah warganegara China dan lima (5) orang adalah warganegara Malaysia.

Sehubungan itu, dari 10 Januari 2020 sehingga 9 Februari 2020 jam 12:00 tengahari; jumlah kumulatif kes PUI jangkitan 2019-nCoV adalah 365 orang; di mana 240 adalah warganegara Malaysia, 117 warga China dan masing-masing satu (1) warganegara Australia, Republik Korea, Indonesia, Jordan, Brazil, Kanada, Bangladesh dan Thailand. Tujuh (7) kes telah disahkan positif 2019-nCoV, 341 adalah negatif 2019-nCoV dan 17 kes masih menunggu keputusan makmal (Lampiran 1).

Sejumlah 1 (satu) kontak rapat yang baharu (iaitu kes ke-17) kepada kes 2019-nCoV dilaporkan sehingga 9 Februari 2020 jam 12:00 tengahari. Oleh itu, jumlah kumulatif kontak rapat kepada kes 2019-nCoV yang dilaporkan pada tahun 2020 sehingga hari ini adalah seramai 97 orang kesemuanya – di mana lapan (8) orang adalah positif dan 88 orang adalah negatif (Lampiran 1).

Screenshot 2020-02-09 at 3.26.21 PM

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) ingin memaklumkan mengenai perkembangan terkini empat (4) sekeluarga yang masih dirawat di wad isolasi Hospital Sungai Buloh dan merupakan ahli-ahli keluarga kepada kes positif 2019-nCoV pertama yang dilaporkan di Singapura. Kesemua mereka adalah sihat dan tidak bergejala. Dua (2) daripada mereka kini telah memperolehi keputusan negatif sebanyak dua kali berturut-turut bagi ujian pengesahan 2019-nCoV ulangan yang dijalankan. Namun, ujian bagi dua (2) lagi ahli keluarga mereka masih perlu dijalankan semula. Justeru, sebaik sahaja ujian pengesahan 2019-nCoV ulangan bagi kedua-dua mereka dikesan negatif sebanyak dua (2) kali berturut-turut, pihak hospital bersedia untuk membenarkan mereka pulang dalam masa yang terdekat.

Untuk makluman, walaupun terdapat pelaporan kes positif jangkitan 2019-nCoV di Malaysia dari semasa ke semasa, namun setakat ini, ia masih lagi terkawal. KKM juga ingin memaklumkan bahawa setakat ini tiada sustained human-to-human transmission dan tiada kes-kes terpencil yang dilaporkan. KKM dengan kerjasama semua pihak akan terus mempertingkatkan lagi kesiapsiagaan dan respon terhadap kejadian jangkitan 2019-nCoV di Malaysia. KKM ingin mengucapkan terima kasih kepada semua agensi-agensi yang terlibat dalam menangani penularan jangkitan ini.

 

DATUK DR. NOOR HISHAM BIN ABDULLAH

KETUA PENGARAH KESIHATAN MALAYSIA

9 Februari 2020

Categories: Press