Press

Kenyataan Akhbar KPK 13 Februari 2020 – Penjelasan Isu Kes Coronavirus Disease (COVID-19) yang didakwa berlaku di Pulau Pinang

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengambil maklum bahawa terdapat satu laporan akhbar China Press bertarikh 13 Februari 2020 dengan tajuk “Kes pertama? Jangkitan selesema dimasukkan ke hospital dan meninggal dunia akibat jangkitan COVID-19 berlaku di Pulau Pinang”. Akibat dari itu, banyak khabar angin yang mengatakan bahawa kematian tersebut disebabkan jangkitan COVID-19.

Untuk makluman, pesakit berkenaan telah mendapatkan rawatan di sebuah hospital di Pulau Pinang disebabkan oleh batuk dan bengkak di kedua-dua belah kaki beliau pada 10 Februari 2020. Beliau tidak mempunyai sejarah pergerakan ke negara China atau mempunyai kontak rapat dengan pesakit yang disahkan COVID-19. Selain itu, pesakit ini juga mempunyai masalah kesihatan kronik yang lain dan masih dalam rawatan susulan. Beliau kemudiannya telah dimasukkan ke wad, dan seterusnya ke Unit Rawatan Rapi (ICU) disebabkan kesihatan beliau yang semakin merosot. Pada 12 Februari 2020, pesakit telah meninggal dunia disebabkan oleh “Septic shock with multiorgan failure complicated with cardiogenic shock”.

Sampel klinikal telah diambil untuk ujian saringan jangkitan COVID-19. Ini adalah kerana, pesakit dimasukkan ke ICU dan mempunyai dapatan klinikal penyakit radang paru-paru (pneumonia). Sampel klinikal pesakit telah dihantar ke Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) untuk ujian pengesanan dan pengesahan bagi COVID-19. Pada 13 Februari 2020, keputusan ujian makmal mengesahkan pesakit adalah NEGATIF kepada jangkitan COVID-19.

KKM akan terus memantau perkembangan kejadian jangkitan COVID-19 ini dari semasa ke semasa. Orang ramai dinasihatkan untuk mendapatkan maklumat rasmi dari laman sesawang KKM atau talian hotline CPRC 03 88810200 / 03 88810600 / 03 88810700.

Sekian, terima kasih

 

DATUK DR NOOR HISHAM BIN ABDULLAH

KETUA PENGARAH KESIHATAN

KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA

 

13 FEBRUARI 2020

 

Categories: Press