Press

Kenyataan Akhbar KPK 13 Februari 2020 – Situasi Terkini Jangkitan Coronavirus Disease 2019 (COVID-19) di Malaysia

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) ingin memaklumkan bahawa terdapat satu (1) kes baharu Coronavirus Disease 2019 (COVID-19) yang dilaporkan pada hari ini, menjadikan jumlah kumulatif kes COVID-19 yang dilaporkan setakat ini adalah sebanyak 19 kes iaitu:

  • Sembilan (9) kes dalam kalangan kes Patient-Under-Investigation (PUI);
  • Lapan (8) kes dalam kalangan kontak rapat;
  • Dua (2) kes dalam kalangan rakyat Malaysia yang dibawa pulang melalui Misi Bantuan Kemanusiaan.

Daripada jumlah tersebut juga:

  • Tiga belas (13) kes adalah warganegara China;
  • Enam (6) orang adalah warganegara Malaysia.

Bilangan kes yang discaj daripada wad adalah tiga (3).

Bagi kontak rapat, sebanyak 223 individu telah dikenalpasti. Sehingga kini, aktiviti pengesanan kontak rapat masih diteruskan lagi bagi mengenalpasti kontak rapat kepada kes.

 

KES BAHARU KE-19

Seorang wanita warganegara China berumur 39 tahun yang merupakan kawan kepada kes-14 dan anak kepada kes-16; yang kini kedua-duanya sedang menerima rawatan di wad isolasi Hospital Kuala Lumpur (HKL).

Beliau bersama-sama empat (4) orang yang lain telah tiba di Malaysia dari Wuhan, China pada 25 Januari 2020. Sebaik sahaja dua (2) kes terdahulu dikesan positif (iaitu kes-14 dan kes-16), masing-masing pada 5 Februari dan 7 Februari 2020, beliau telah diletakkan di bawah Perintah Pengawasan dan Pemantauan.

Hasil aktiviti pemantauan yang dijalankan secara berterusan ke atasnya oleh pihak Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) mendapati beliau mula mengalami gejala demam dan batuk pada 12 Februari 2020. Beliau telah dirujuk ke HKL untuk dimasukkan ke wad bagi menerima rawatan dan siasatan selanjutnya. Ujian pengesanan dan pengesahan COVID-19 yang dijalankan ke atasnya telah dilaporkan positif pada hari yang sama. Beliau kini telah dimasukkan ke wad isolasi di HKL dan berada dalam keadaan stabil.

 

MENTAL HEALTH PSYCHOSOCIAL SUPPORT SERVICES (MHPSS)

KKM juga telah menggerakkan Pasukan Kesihatan Mental Dan Sokongan Psikososial (MHPSS) sejak 6 Februari 2020 susulan Misi Bantuan Kemanusiaan bagi membawa pulang rakyat Malaysia dan ahli keluarga mereka dari Wuhan, China. Pasukan ini memberikan perkhidmatan sokongan psikososial kepada individu-individu yang diletakkan di bawah Perintah Pemantauan, kepada Petugas KKM dan agensi-agensi lain yang turut sama terlibat. Aktiviti termasuk sesi bantuan asas psikologi (psychological first aid; PFA) kelompok dan individu, serta kaunseling dan rujukan kepada pakar sekiranya perlu. Buat masa ini, terdapat dua (2) kes telah dirujuk untuk menerima rawatan lanjut kerana stres akut dan keresahan. Mereka telah diberikan ubatan dan berada dalam keadaan stabil.

PFA juga turut diberikan kepada anggota kesihatan yang bertugas di lapangan, yang meliputi anggota kesihatan yang mengendalikan kes di wad isolasi hospital-hospital dikenalpasti.

Sehubungan itu, KKM akan terus memantau perkembangan kejadian jangkitan ini melalui maklumat yang diperolehi daripada pihak Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO). Orang ramai akan sentiasa dimaklumkan sebarang perkembangan terkini mengenainya. Begitu juga, KKM akan memastikan langkah pencegahan dan kawalan yang sewajarnya dilaksanakan secara berterusan.

Sekian, terima kasih

 

DATUK DR. NOOR HISHAM BIN ABDULLAH

KETUA PENGARAH KESIHATAN MALAYSIA

13 Februari 2020

Categories: Press