Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) ingin merujuk kepada Kenyataan Ahbar Ketua Pengarah Kesihatan bertarikh 17 Februari 2020 dan memaklumkan perkembangan terkini penguatkuasaan produk Energy Candy yang mengandungi racun berjadual Tadalafil yang tidak dibenarkan ditambah dalam makanan di bawah Akta Makanan 1983.
Operasi telah dijalankan di seluruh negara bagi memastikan produk ExtrAli Energy Candy, Extra Strong Energy Candy dan Mixed Fruit Candy tidak dijual di pasaran. Sebanyak 160 premis pemborong, pengedar dan peruncit telah diperiksa dan sejumlah 434,742 paket produk bernilai RM131,340.70 telah dirampas. Arahan larangan penjualan juga telah dikeluarkan kepada peniaga atas talian di semua platform e-dagang.
KKM ingin menegaskan sekali lagi kepada sesiapa yang masih menyimpan stok produk ini agar menghentikan pengedaran dan penjualan termasuk jualan atas talian. Tindakan boleh dikenakan di bawah Seksyen 13, Akta Makanan 1983 di mana jika disabitkan boleh dikenakan denda tidak melebihi RM100,000 atau penjara tidak melebihi 10 tahun atau kedua-duanya.
KKM sentiasa peka dan prihatin terhadap perkara-perkara yang boleh mengancam kesihatan pengguna. Sekiranya pengguna mempunyai sebarang kemusykilan berhubung sebarang isu keselamatan makanan, pengguna boleh menghubungi Pejabat Kesihatan Daerah atau Jabatan Kesihatan Negeri terdekat atau hubungi KKM melalui laman sesawang http://moh.spab.gov.my atau facebook Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan (BKKM) www.facebook.com/bkkmhq.
DATUK DR. NOOR HISHAM ABDULLAH
KETUA PENGARAH KESIHATAN MALAYSIA
18 FEBRUARI 2020
Categories: Press
You must be logged in to post a comment.