Press

Kenyataan Akhbar KPK 23 Februari 2020 – Pelaksanaan Survelan Penyakit Coronavirus 2019 (Covid-19) Bagi Mengesan Kes dalam Masyarakat Tempatan dan Situasi Terkini Jangkitan di Malaysia

Sehingga 23 Februari 2020, secara kumulatif Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah melaporkan sebanyak dua puluh dua (22) kes COVID-19. Daripada jumlah tersebut, dua puluh (20) kes merupakan kes import – iaitu kes yang mempunyai sejarah perjalanan dari atau tinggal di luar negara, khususnya dari negara China. Baki dua (2) kes lagi adalah dalam kalangan ahli keluarga kepada salah satu kes COVID-19 yang merupakan warganegara Malaysia.

Mengambilkira dapatan ini, KKM telah bertindak proaktif dengan memperkukuhkan Survelan COVID-19 bagi mengesan kes dalam kalangan masyarakat tempatan. Sistem survelan ini menggunapakai konsep yang sedia dilaksanakan bagi Sistem Survelan Influenza – iaitu melalui pengesanan kes “severe acute respiratory infection (SARI)” dan pengesanan kes “influenza-like illness (ILI)” yang memenuhi kriteria, masing-masing di peringkat hospital serta Klinik Kesihatan yang telah dikenalpasti.  Pengukuhan pengesanan di kalangan kes SARI telah dimulakan sejak 12 Februari 2020. Sehingga kini tiada sampel dikesan positif COVID-19 daripada sejumlah sampel yang telah diambil dan diuji melalui sistem survelan tersebut. Manakala pengukuhan pengesanan di kalangan kes ILI pula telah dimulakan bermula pada 22 Februari 2020.

Situasi Terkini Kes COVID-19 Di Malaysia

Case 13

Ikuti temubual bersama Kes ke-13 di sini

Terkini, KKM ingin memaklumkan seorang (1) lagi kes telah pulih sepenuhnya dan dibenarkan pulang ke rumah pada petang 22 Februari 2020. Beliau adalah kes ke-13, seorang wanita warganegara Malaysia berumur 40 tahun yang dirawat di Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar dan telah disahkan positif COVID-19 pada 5 Februari 2020.

Ini menjadikan jumlah kumulatif kes COVID-19 yang telah pulih sepenuhnya dan discaj sehingga hari ini adalah sebanyak lapan belas (18) orang dengan empat (4) masih dirawat di wad dan kesemua mereka berada dalam keadaan stabil.

 

DATUK DR NOOR HISHAM BIN ABDULLAH

KETUA PENGARAH KESIHATAN

KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA

23 FEBRUARI 2020

Categories: Press