Press

Kenyataan Akhbar KPK 25 Februari 2020 – Isu Pengambilan Ais dari Sumber yang Tidak Disahkan Dikaitkan dengan Novel Coronavirus 2019 (COVID-19)

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengambil maklum saranan oleh Exco Kebajikan, Masyarakat Penyayang dan Alam Sekitar Pulau Pinang, YB Tuan Phee Boon Poh yang disiarkan dalam akhbar The Star pada 19 Februari 2020. Di dalam artikel tersebut, beliau dilaporkan menyarankan orang ramai untuk tidak mengambil ais daripada sumber yang tidak disahkan dan bahawa jangkitan Novel Coronavirus (COVID-19) boleh disebarkan melalui cecair.

Di bawah Peraturan 394A, Peraturan-Peraturan Makanan 1985 telah menetapkan standard ais dan syarat lesen yang perlu dipatuhi oleh kilang ais. Ais yang dihasilkan hendaklah menggunakan sumber air terawat dan menjalani proses nyahjangkitan melalui pelbagai teknologi iaitu antaranya teknologi radiasi pengionan, ultraungu dan sebagainya. Sehubungan itu, berdasarkan kajian dan maklumat yang diketahui setakat ini mengenai jangkitan COVID-19, pematuhan kepada standard dan syarat perlesenan sedia ada dapat memastikan ais yang dikeluarkan oleh kilang ais adalah selamat. Namun, kilang ais yang tidak mempunyai lesen tidak dapat dipastikan keberkesanan proses penyahjangkitan.

KKM melalui Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan (BKKM) juga sentiasa menjalankan pemantauan ke atas kilang ais yang beroperasi di negara ini bagi memastikan pengilang ais mematuhi peraturan yang telah ditetapkan. Sehingga kini, terdapat 156 buah kilang ais berlesen dengan KKM di seluruh negara manakala 16 buah kilang ais masih dalam proses kelulusan lesen.

Pada tahun 2019, sebanyak 140 buah kilang ais yang beroperasi tanpa lesen telah dikenalpasti oleh KKM. Daripada jumlah tersebut, sebanyak 18 buah kilang ais yang beroperasi tanpa lesen telah diambil tindakan penguatkuasaan pada tahun 2019 manakala 122  buah lagi bakal dikenakan tindakan pada tahun ini. Pemilik kilang ais yang beroperasi tanpa lesen dari KKM boleh dikenakan denda tidak melebihi RM10,000 atau penjara tidak melebihi dua (2) tahun.

Sehubungan itu, pengguna disarankan untuk membeli ais dari kilang yang telah dilesenkan oleh KKM. Pengguna boleh merujuk nombor lesen KKM pada pembungkusan ais. Pengguna juga boleh menyemak maklumat kilang ais yang memperolehi lesen KKM di laman sesawang rasmi BKKM, http://fsq.moh.gov.my.

KKM sentiasa peka dan prihatin terhadap perkara-perkara yang boleh mengancam kesihatan pengguna. Sekiranya pengguna mempunyai sebarang kemusykilan berhubung sebarang isu keselamatan makanan, pengguna boleh hubungi Pejabat Kesihatan Daerah atau Jabatan Kesihatan Negeri terdekat atau hubungi KKM melalui laman sesawang http://moh.spab.gov.my atau facebook Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan (BKKM) www.facebook.com/bkkmhq.

 

DATUK DR. NOOR HISHAM ABDULLAH

KETUA PENGARAH KESIHATAN MALAYSIA

25 FEBRUARI 2020

Categories: Press