Press

Kenyataan Akhbar KPK 25 Februari 2020 – Situasi Terkini Jangkitan Coronavirus Disease 2019 (COVID-19) di Malaysia

Sehingga 25 Februari 2020, jumlah kumulatif kes positif Penyakit Coronavirus 2019 (COVID-19) yang dilaporkan di Malaysia kekal sebanyak 22 kes. Daripada jumlah ini, seramai 20 orang telah pulih sepenuhnya dan telah discaj daripada wad. Manakala dua (2) orang, iaitu kes ke-16 dan kes ke-22, masih dirawat di wad dan mereka berada dalam keadaan stabil. Jumlah Patient-under-investigation (PUI) yang dilaporkan ke Crisis Preparedness and Response Centre (CPRC), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sehingga 25 Februari 2020 adalah sebanyak 796 kes.

Thermal scanning

WhatsApp Image 2020-02-25 at 14.19.56

KKM sentiasa memastikan kesiapsiagaan dan respon terhadap wabak atau kejadian penyakit berjangkit dapat dilaksanakan dengan berkesan dan baik di semua peringkat termasuk di Pintu Masuk Antarabangsa (PMA) Negara. Sehingga 23 Februari 2020, seramai 7,617,964 telah disaring di Pintu Masuk Antarabangsa (PMA) seluruh negara. Daripada jumlah tersebut, seramai 27 orang telah dirujuk ke hospital dan dua (2) kes telah disahkan positif COVID-19 iaitu kes ke-20 dan kes ke-22 setelah dikesan demam melalui thermal scanner semasa saringan di PMA.

KKM akan terus memantau perkembangan kejadian jangkitan ini melalui maklumat yang diperolehi daripada pihak WHO. Orang ramai akan sentiasa dimaklumkan sebarang perkembangan terkini mengenainya. Begitu juga, KKM akan memastikan langkah pencegahan dan kawalan yang sewajarnya dilaksanakan secara berterusan.

Sekian, terima kasih.

 

DATUK DR NOOR HISHAM BIN ABDULLAH

KETUA PENGARAH KESIHATAN

KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA

 

25 FEBRUARI 2020

Categories: Press