Press

Kenyataan Akhbar KPK 26 Februari 2020 – Situasi Semasa Jangkitan Coronavirus Disease 2019 (COVID-19) di Malaysia

Sehingga 25 Februari 2020, seramai 1,548 individu telah diambil sampel bagi pengesanan jangkitan penyakit Coronavirus 2019 (COVID-19). Mereka terdiri daripada patient-under-investigation (PUI), kontak kepada kes positif COVID-19 dan individu yang tiba dari Misi Bantuan Kemanusiaan. Daripada jumlah ini, sebanyak 22 kes disahkan positif COVID-19 iaitu 12 dari kalangan PUI, lapan (8) daripada kontak langsung dengan kes disahkan positif COVID-19 dan dua (2) kes lagi adalah dalam kalangan Misi Bantuan Kemanusiaan.

Kes COVID-19 terakhir yang dilaporkan di Malaysia adalah pada 15 Februari 2020. Daripada 22 kes COVID-19 ini, 20 kes telah pulih sepenuhnya dan telah discaj dari wad. Manakala dua (2) kes lagi masih di rawat di wad dan dalam keadaan stabil.

KKM telah memperkukuhkan survelan COVID-19 dalam kalangan pesakit dengan diagnosa severe acute respiratory infection (SARI) dan influenza-like-illness (ILI). Ia bagi mengesan kes sporadik dan kes tempatan yang tiada kaitan dengan sejarah perjalanan ke Negara China atau kontak dengan kes positif COVID-19. Sehingga 25 Februari 2020, sebanyak 122 sampel telah diuji; iaitu 77 dalam kalangan SARI dan 45 kes ILI. Sehingga kini tiada kes SARI atau ILI yang dikesan positif jangkitan COVID-19.

Pada 25 Februari 2020, Singapura-Malaysia Joint Working Group for Corona Virus telah pertama kalinya bermesyuarat bagi membincangkan kerjasama dua hala dalam pelaksanaan aktiviti pencegahan dan kawalan COVID-19, berikutan daripada hasil sesi persidangan video Malaysia-Singapura yang telah diadakan pada 11 Februari 2020. Antara perkara yang dipersetujui adalah:

  1. Perkongsian maklumat mengenai pengurusan klinikal pesakit melibatkan Pakar-pakar Perubatan dari kedua negara bagi memastikan hasil perawatan yang optimum diberikan kepada pesakit COVID-19;
  2. Memperkukuhkan ‘entry screening’ di Pintu Masuk Antarabangsa (PMA) darat Malaysia-Singapura, yang berfungsi sebagai saringan rentas sempadan bersama;
  3. Berkongsi dan menyelaras protokol saringan kesihatan di PMA darat kedua-dua negara;
  4. Malaysia dan Singapura akan saling berkongsi nasihat kesihatan serta mesej awam yang digunapakai untuk hebahan kepada masyarakat masing-masing; dan
  5. Mengaktifkan rangkaian Bilateral Field Epidemiology Training Network (FETN) Malaysia-Singapura bagi perkongsian data survelan dan hasil analisanya.

KKM akan terus memantau perkembangan kejadian jangkitan COVID-19 di seluruh dunia dan orang ramai akan dimaklumkan sebarang perkembangan mengenainya. Orang ramai juga dinasihatkan untuk mendapatkan maklumat terkini dari laman sesawang KKM.

Sekian, terima kasih.

 

DATUK DR. NOOR HISHAM BIN ABDULLAH

KETUA PENGARAH KESIHATAN MALAYSIA

26 Februari 2020

Categories: Press