Press

Kenyataan Akhbar KPK 28 Februari 2020 - Kenyataan Bersama KKM, WHO & UNICEF: 2.5 Juta Dos Vaksin Polio Untuk Kawalan Wabak Polio di Sabah

Pada 27 Februari 2020, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah menerima 2.5 juta dos vaksin monovalent oral polio vaccine type 2 (mOPV2) daripada World Health Organization (WHO) Vaccines Stockpile yang dikendalikan oleh United Nations Children Emergency Fund (UNICEF) untuk diberikan kepada lebih satu (1) juta kanak-kanak di bawah umur 13 tahun di Sabah untuk kawalan wabak polio.

This slideshow requires JavaScript.

Terkini, Malaysia masih kekal mencatatkan tiga (3) kes disahkan polio yang melibatkan kanak-kanak berumur tiga (3) bulan dari daerah Tuaran, lapan (8) tahun dari daerah Sandakan dan 11 tahun dari daerah Kinabatangan. Seorang kanak-kanak berusia tiga tahun yang sihat tiada bergejala dari daerah Semporna juga telah dikesan positif virus polio melalui persampelan yang disasarkan ke atas kanak-kanak sihat (targeted healthy children sampling), manakala lima (5) sampel persekitaran air kumbahan telah dikesan positif virus polio iaitu dari Daerah Kota Kinabalu dan Semporna.

Sebagai langkah kawalan, Kerajaan Malaysia telah mengeluarkan peruntukan tambahan untuk menjalankan kempen imunisasi bivalent Oral Polio Vaccine (bOPV) kepada kanak-kanak di seluruh negeri Sabah semenjak 27 Disember 2019. Bagi menjayakan kempen tersebut, Jabatan Kesihatan Negeri Sabah telah mendapat kerjasama daripada pihak Kerajaan Negeri Sabah dan agensi-agensi kerajaan peringkat negeri yang lain, serta pertubuhan bukan kerajaan dan pihak sukarelawan seperti Persatuan Bulan Sabit Merah, Tzu Chi, Persatuan Pesara Jururawat, Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK), Ahli Kumpulan Sokongan Penyusuan Susu Ibu (AKSI), COMBI, Sukarelawan Pekerja Kesihatan Awam (SPKA), guru-guru, Panel Penasihat Klinik, pelajar perubatan Universiti Malaysia Sabah (UMS) dan pelajar-pelajar Institut Latihan KKM (ILKKM) Kota Kinabalu, Sandakan serta Tawau. Kempen imunisasi dilaksanakan melalui pasukan bergerak dan juga di klinik-klinik kerajaan, balai raya, pusat komuniti, pusat perniagaan, premis keagamaan dan lain-lain.

Pihak KKM juga telah berkolaborasi dengan WHO dan UNICEF dalam mengawal wabak polio ini, dan ianya akan diteruskan sehingga wabak selesai.  Vaksin mOPV2 yang dibekalkan oleh UNICEF adalah vaksin tambahan yang perlu diberikan di samping vaksin bOPV yang disediakan oleh Kerajaan Malaysia untuk memastikan perlindungan virus polio adalah lengkap. Kedua-dua jenis vaksin ini (iaitu mOPV dan bOPV) akan memberi perlindungan kepada kanak-kanak serta menghalang penularan virus polio  kepada kanak-kanak lain.  Semua kanak-kanak yang berumur di bawah 13 tahun akan diberikan kedua-dua jenis vaksin OPV ini tanpa mengira status imunisasi.  Kejayaan kempen ini adalah bergantung kepada liputan imunisasi yang menyeluruh iaitu sekurang-kurangnya 95% kanak-kanak di bawah 13 tahun diberi imunisasi OPV.

KKM ingin memaklumkan bahawa vaksin OPV adalah selamat dan perlu diberikan beberapa kali kepada kanak-kanak bagi kesan yang optima. Untuk itu, KKM menggesa ibu bapa, penjaga dan juga pihak taska, tadika serta sekolah untuk memastikan kanak-kanak telah menerima imunisasi OPV yang diberikan semasa kempen dijalankan.

Basmi Jangkitan Polio, Kembalikan Status Bebas Polio di Malaysia

Sekian, terima kasih.

 

DATUK DR. NOOR HISHAM BIN ABDULLAH

KETUA PENGARAH KESIHATAN MALAYSIA

 

28 FEBRUARI 2020

Categories: Press