Communicable disease

Kenyataan Akhbar KPK 10 Mac 2020 – Situasi Semasa Wabak Polio di Sabah

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) ingin memaklumkan terdapat satu kes baharu Polio melibatkan kanak-kanak lelaki bukan warganegara berumur tiga (3) tahun di Sandakan, Sabah. Beliau tidak pernah menerima vaksin polio sejak lahir. Kanak-kanak ini telah mengalami gejala lemah kaki kiri pada 18 Januari 2020 dan telah dirawat di hospital dan kini berada di dalam keadaan stabil. Kes ini telah disahkan polio oleh Makmal Rujukan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) di Australia pada 5 Mac 2020.

Sehingga 8 Mac 2020, secara keseluruhan, terdapat empat (4) kes yang telah disahkan polio di Sabah. Kesemua kes telah disahkan polio oleh Makmal Rujukan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) di Australia. Empat (4) kes yang disahkan polio ini melibatkan kanak-kanak berumur tiga (3) bulan dari Tuaran;  tiga (3) dan lapan (8) tahun dari Sandakan; serta dan 11 tahun dari Kinabatangan. Hanya satu (1) kes yang masih dirawat di hospital iaitu kanak-kanak berumur tiga (3) bulan dari Tuaran. Beliau berada dalam keadaan stabil tetapi masih memerlukan alat bantuan pernafasan. Tiga (3) daripada empat (4) kes ini merupakan bukan warganegara, yang tidak pernah menerima vaksin polio.

Kes Polio di Malaysia

Semasa aktiviti kawalan dan pencegahan wabak polio dijalankan di lapangan pada 24 Januari 2020, seorang kanak-kanak perempuan bukan warganegara berumur dua (2) tahun di Semporna telah ditemui mengalami gejala Acute Flaccid Paralysis (AFP). Beliau telah mengalami demam pada 10 Januari 2020, diikuti dengan lemah kaki hingga tidak dapat berjalan seperti biasa pada 17 Januari 2020, namun tidak dibawa untuk mendapatkan rawatan. Hasil penelitian para Panel Pakar, kes ini telah diklasifikasikan sebagai polio compatible, memandangkan gejala yang dialami adalah mirip kepada polio.

KKM juga menjalankan survelan persekitaran bagi mengesan virus polio dalam persekitaran. Sehingga 8 Mac 2020, sebanyak 13 sampel air kumbahan yang diambil dari beberapa lokasi di Sabah pada tahun 2019 telah dikesan virus polio. Survelan persekitaran ini telah diperluaskan ke semua daerah di Sabah dan semua negeri di Malaysia bagi memastikan virus polio dapat dikesan awal, agar langkah kawalan dan pencegahan dapat dijalankan dengan segera.

Susulan dari pengesanan virus polio dalam persekitaran, sampel najis turut diambil dari kanak-kanak sihat berumur bawah 5 tahun secara rawak di kawasan yang dikesan virus polio tersebut. Seorang kanak-kanak sihat berumur 3 tahun (bukan warganegara) di Semporna telah dikesan virus polio dalam sampel najis beliau. Kes ini tidak diklasifikasikan sebagai kes polio berdasarkan garispanduan pembasmian polio global kerana tiada bergejala. Namun begitu kanak kanak ini dipantau dari masa ke semasa dan diberi vaksin oral polio (OPV) bagi membina imuniti badan terhadap jangkitan polio.

KKM melalui Jabatan Kesihatan Negeri Sabah meneruskan semua aktiviti kawalan dan pencegahan wabak polio di Sabah. Kempen Imunisasi Polio Sabah (KIPS) yang bermula semenjak 27 Disember 2019 secara berperingkat diteruskan. Kempen yang melibatkan pemberian vaksin oral polio (OPV) mensasarkan semua kanak-kanak berumur bawah 13 tahun di seluruh negeri Sabah. Sebanyak dua dos vaksin bivalent oral polio type 1 dan 3 (bOPV) dan dua dos vaksin monovalent oral polio type 2 (mOPV2) akan diberikan secara titisan ke dalam mulut kepada setiap kanak-kanak berumur bawah 13 tahun di seluruh Sabah.  Sehingga 8 Mac 2020, seramai 517,038 orang kanak-kanak dibawah umur 13 tahuntelah diberi vaksin bOPV dos pertama, manakala 206,972 orang kanak-kanak telah menerima vaksin bOPV dos kedua. Pemberian vaksin mOPV2 akan bermula pada pertengahan bulan Mac 2020 kelak.

Polio paralysis

Semua ibubapa di Sabah perlu memastikan anak-anak yang berumur bawah 13 tahun menerima vaksin oral polio seperti yang dinyatakan. Vaksin oral polio merupakan pemberian vaksin polio tambahan, bagi memastikan penularan virus polio dapat dihentikan. Vaksin polio yang diberi secara suntikan dalam bentuk vaksin lima serangkai (DTaP-IPV/Hib) yang mengandungi komponen antigen difteria, tetanus, pertussis, polio dan Haemophilus influenzae type b perlu terus diambil mengikut jadual yang ditetapkan pada umur 2, 3, 5 dan 18 bulan. Ini bagi memastikan setiap kanak-kanak dapat dilindungi dari jangkitan polio secara optimum.

Bagi kanak-kanak di negeri selain Sabah, ibubapa perlu memastikan anak-anak mereka mendapat vaksin polio secara suntikan mengikut jadual yang ditetapkan pada umur 2, 3, 5 dan 18 bulan. Sekiranya terdapat kanak-kanak yang tercicir suntikan vaksin polio, ibubapa dinasihatkan agar pergi ke mana-mana klinik kesihatan bagi penjadualan semula suntikan vaksin mengikut kesesuaian umur kanak-kanak tersebut.

Basmi Jangkitan Polio, Kembalikan Status Bebas Polio di Malaysia.

Sekian, terima kasih.

DATUK DR. NOOR HISHAM ABDULLAH

KETUA PENGARAH KESIHATAN MALAYSIA

 

10 Mac 2020

Categories: Communicable disease, Press

Tagged as: