STATUS TERKINI COVID-19 DI MALAYSIA
Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) ingin memaklumkan bahawa pada hari ini, terdapat sembilan (9) kes baharu yang disahkan positif Penyakit Coronavirus 2019 (COVID-19) telah dilaporkan kepada Crisis Preparedness and Response Centre (CPRC) Kebangsaan.
Dengan pertambahan sembilan (9) kes baharu ini, ia menjadikan jumlah kumulatif kes positif COVID-19 di Malaysia adalah sebanyak 158 kes. Daripada jumlah ini:
- sebanyak 26 kes dikesan di kalangan Patient-Under-Investigation (PUI) jangkitan COVID-19;
- 127 kes dari kalangan kontak rapat;
- dua (2) kes dalam kalangan severe acute respiratory infection (SARI) melalui survelan COVID-19;
- satu (1) kes dalam kalangan influenza-like-illness (ILI) melalui survelan COVID-19; dan
- dua (2) lagi kes dari Misi Bantuan Kemanusiaan.
Pada hari ini, terdapat enam (6) kes telah pulih. Kesemua kes ini telah negatif COVID-19 sebanyak dua (2) kali berturut-turut sebelum dibenarkan pulang. Dengan jumlah baru discaj ini menjadikan jumlah kumulatif kes yang telah pulih sepenuhnya setakat ini dari COVID-19 dan telah discaj daripada wad adalah sebanyak 32 kes. Pada masa ini terdapat tiga (3) kes sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi yang memerlukan bantuan alat pernafasan dan mereka dalam keadaan stabil.
STATUS TERKINI COVID-19 DI PERINGKAT GLOBAL
KKM mengambil maklum kenyataan Pertubuhan Kesihatan Antarabangsa (WHO) bertarikh 11 Mac 2020 mengenai situasi terkini COVID-19 di peringkat global yang melibatkan 114 negara. Pihak WHO telah mengisytiharkan kejadian COVID-19 sebagai pandemik dengan mengambil kira terdapat peningkatan kes yang ketara di negara-negara selain Republik Rakyat China. Jumlah kes di negara-negara selain Republik Rakyat China dijangka akan terus meningkat. WHO juga memaklumkan bahawa langkah pencegahan dan kawalan yang sedang dijalankan kini masih relevan dan dicadangkan untuk dipertingkatkan.
Dengan pengumuman WHO ini, KKM akan terus memastikan langkah kawalan dan pencegahan jangkitan COVID-19 yang telah dijalankan dikaji mengikut situasi semasa di Negara kita dan akan dipertingkatkan.
NASIHAT KESIHATAN
KKM ingin merujuk kepada kenyataan akhbar Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia bertarikh 11 Mac 2020 berkaitan perhimpunan tabligh di Masjid Seri Petaling, Selangor pada 27 Februari 2020 hingga 3 Mac 2020, mereka yang menghadiri atau yang terlibat dalam perhimpunan ini diminta untuk menghubungi Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) berhampiran untuk penilaian risiko jangkitan COVID-19 dan tindakan selanjut oleh PKD; iaitu:
- diambil sampel klinikal jika didapati berisiko tinggi mendapat jangkitan COVID-19 atau sekiranya bergejala jangkitan saluran pernafasan;
- menerima Surat Perintah Pengawasan dan Pemerhatian di Rumah bagi menjalani pengawasan dan pemantauan di rumah; dan
- diperjelaskan keperluan memantau kesihatan diri menggunakan Home Assessment Tool yang akan diberikan oleh Pegawai Diberikuasa di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988.
Orang awam yang terlibat dengan perhimpunan ini diminta untuk memberi kerjasama dan mematuhi nasihat yang telah diberikan oleh KKM demi memastikan tiada penularan jangkitan COVID-19 dalam masyarakat umum. KKM juga telah memaklumkan mengenai kejadian jangkitan COVID-19 yang melibatkan perhimpunan ini kepada International Health Regulations (IHR) Focal Point (FP) negara-negara yang mempunyai peserta menghadiri majlis ini.
Orang awam juga diminta tidak menyebarkan maklumat tidak sahih berkaitan jangkitan COVID-19 yang melibatkan perhimpunan tabligh ini demi menjaga keharmonian umum. Pihak KKM akan sentiasa memaklumkan situasi berkaitan kejadian ini dari semasa ke semasa.
Sekian, terima kasih.
DATUK DR. NOOR HISHAM ABDULLAH
KETUA PENGARAH KESIHATAN MALAYSIA
12 Mac 2020
Categories: Communicable disease, Press