Communicable disease

Kenyataan Akhbar KPK 13 Mac 2020 – Situasi Semasa Jangkitan Penyakit Coronavirus 2019 (COVID-19) di Malaysia

STATUS TERKINI KES COVID-19 DI MALAYSIA

Terkini, KKM ingin memaklumkan bahawa sehingga 13 Mac 2020, jam 12 tengah hari, terdapat 39 kes baharu jangkitan COVID-19 telah dilaporkan. Kesemua kes ini telah dikesan dan diasingkan untuk rawatan selanjutnya.

Dengan pertambahan 39 kes baharu ini, menjadikan jumlah kumulatif kes positif COVID-19 di Malaysia adalah sebanyak 197 kes. Daripada kes baharu ini, sebanyak 38 kes dikesan di kalangan Patient-Under-Investigation (PUI) jangkitan COVID-19 dan satu (1) kes dari kalangan kontak rapat. Sehingga kini, sebanyak empat (4) kes telah dilaporkan memerlukan bantuan pernafasan dan dirawat di Unit Rawatan Rapi. Kes-kes ini juga telah diberikan rawatan anti-viral.

Pada gelombang pertama sebanyak 22 kes telah dilaporkan (kes ke-1 sehingga kes ke-22). Daripada jumlah ini 12 kes merupakan kes dari kalangan Patient Under Investigation (PUI), 8 dari kontak rapat manakala dua (2) kes lagi dari misi bantuan kemanusiaan yang membawa pulang rakyat Malaysia dari Wilayah Hubei, China pulang ke Malaysia. Kesemua kes dari gelombang pertama ini telah sembuh dan dibenarkan pulang.

Untuk makluman semua, kes-kes bagi gelombang kedua yang dilaporkan ini (bermula kes ke-23 sehingga kes ke-197), sebanyak 52 kes dilaporkan dari kalangan PUI, manakala kes-kes lain dilaporkan melibatkan dua (2) kluster utama yang telah dikenalpasti.

Di samping itu, KKM juga telah menjalankan survelan COVID-19 bagi mengesan kes terpencil atau sporadik di Malaysia melalui pesakit influenza-like-illness (ILI) dan severe acute respiratory infection (SARI) yang tiada kaitan dengan sejarah perjalanan ke negara-negara yang terjejas atau kontak dengan kes positif COVID-19. Sehingga 13 Mac 2020, sebanyak 756 sampel telah diuji dan setakat ini sebanyak tiga (3) sampel dikesan positif jangkitan COVID-19. Setakat ini, siasatan yang dijalankan mendapati kes-kes ini dikesan di kalangan kluster perhimpunan tabligh. Siasatan bagi kes-kes berkenaan masih dijalankan dan orang awam akan dimaklumkan dari semasa ke semasa.

Publication4

NASIHAT KESIHATAN

Mengambil kira keadaan semasa, pihak KKM ingin menegaskan agar:

  1. Orang awam tidak digalakkan untuk menghadiri perhimpunan atau tempat yang melibatkan orang ramai ` termasuklah tempat keagamaan, terutamanya mereka yang bergejala jangkitan saluran pernafasan; dan
  2. Semua penganjuran aktiviti yang melibatkan orang awam hendaklah ditangguhkan bagi mengelakkan penularan jangkitan COVID-19. KKM akan memaklumkan perkembangan jangkitan ini dari semasa ke semasa;
  3. Penjagaan kebersihan diri yang baik adalah seperti sentiasa mengamalkan tahap kebersihan yang tinggi seperti kerap mencuci tangan dengan air dan sabun, atau menggunakan hand sanitizer;
  4. Dapatkan segera dapatkan rawatan perubatan segera sekiranya mengalami gejala jangkitan saluran pernafasan seperti demam, batuk mahupun kesukaran untuk bernafas.

KKM akan terus memantau perkembangan kejadian jangkitan COVID-19 dari semasa ke semasa dan orang awam akan sentiasa dimaklumkan mengenainya.

Sekian, terima kasih

DATUK DR. NOOR HISHAM ABDULLAH

KETUA PENGARAH KESIHATAN MALAYSIA

13 Mac 2020 @ 9:00 petang

 

covid19 bystates 13.3.2020

Categories: Communicable disease, Press

Tagged as: