Communicable disease

Kenyataan Akhbar YBMK 17 Mac 2020 – Situasi Semasa Jangkitan Penyakit Coronavirus 2019 (COVID-19) di Malaysia

STATUS TERKINI KES DISAHKAN COVID-19 YANG TELAH PULIH

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) ingin memaklumkan bahawa terdapat tujuh (7) kes yang telahpulih dan dibenarkan discaj pada hari ini. Ini menjadikan jumlah kumulatif kes yang telah pulih sepenuhnya dari COVID-19 dan telah discaj daripada wad adalah sebanyak 49 kes.

STATUS TERKINI KES COVID-19 DI MALAYSIA

Sehingga 17 Mac 2020 pukul 12 tengah hari, terdapat 120 kes baharu yang telah dilaporkan. Ini menjadikan jumlah kes positif COVID-19 di Malaysia adalah sebanyak 673 kes. Berdasarkan siasatan awal, daripada 120 kes baharu yang dilaporkan hari ini, sebanyak 95 kes positif COVID-19 adalah berkaitan dengan kluster perhimpunan tabligh di Masjid Jamek Seri Petaling.

17 Mac 2020 - Map Data Keseluruhan

17 Mac 2020 - data tabligh

Sehingga kini, seramai 12 kes positif COVID-19 sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan memerlukan bantuan pernafasan.

Dukacita dimaklumkan terdapat dua (2) kematian COVID-19 (Kes ke-178 dan kes ke-358) dilaporkan kepada Crisis Preparedness and Response Centre (CPRC) Kebangsaan, KKM pada hari ini.

  • Kes ke-178 merupakan lelaki warganegara Malaysia berumur 34 tahun yang pernah menghadiri perhimpunan tabligh di Masjid Jamek Seri Petaling tempoh hari. Beliau mula mengalami gejala demam mulai 5 Mac 2020. Beliau mendapat rawatan di Hospital Permai, Johor Bahru pada 12 Mac 2020 setelah dikesan positif COVID-19. Keadaan beliau merosot dan telah dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi. Beliau disahkan meninggal dunia pada 17 Mac 2020.
  • Kes ke-358 merupakan lelaki warganegara Malaysia berumur 60 tahun yang mempunyai sejarah penyakit kronik. Beliau mula mengalami gejala demam, batuk dan kesukaran bernafas pada 7 Mac 2020. Beliau mendapat rawatan di Hospital Umum Sarawak pada 14 Mac 2020 setelah dikesan positif COVID-19. Keadaan beliau merosot dan telah dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi. Beliau disahkan meninggal dunia pada hari ini.

Susulan itu bertepatan tindakan YAB Perdana Menteri mengumumkan mengenai pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan mengikut peruntukan di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) dan Akta Polis 1967 (Akta 344).

KKM ingin memaklumkan bahawa kerajaan Malaysia mengambil tindakan drastik ini untuk mengekang penularan wabak COVID-19 dengan cara menghadkan pergerakan orang ramai. Pendekatan ini perlu dilaksanakan oleh Kerajaan Malaysia bagi mengelakkan lebih ramai rakyat negara ini daripada dijangkiti COVID-19 dan membendung serta mengekang rangkaian penularan virus covid-19 ini. Walaubagaimanapun perkhidmatan kesihatan akan terus dipertingkatkan dan kerjasama pelbagai pihak sama ada awam dan swasta perlu diteruskan.

NASIHAT KESIHATAN BERKAITAN COVID-19

Kerajaan ingin menggesa orang ramai untuk mematuhi segala arahan berkaitan dengan perintah tersebut, yang akan dikuatkuasakan mulai 18 Mac 2020 hingga 31 Mac 2020. Kegagalan mematuhi mana-mana arahan tersebut, sekiranya disabitkan dengan kesalahan boleh dikenakan hukuman di bawah Seksyen 24 Akta 342.

Setiap individu perlu menjadi rakyat Malaysia yang bertanggungjawab dan menjalankan peranan masing-masing untuk membantu kerajaan Malaysia dalam membendung penularan kejadian COVID-19. Antara tindakan-tindakan yang harus diambil oleh setiap rakyat Malaysia bagi mencegah dan mengawal jangkitan COVID-19, selaras dengan Perintah Kawalan Pergerakan adalah seperti berikut:

  1. Terus mengamalkan tahap kebersihan yang optimum pada setiap masa, seperti kerap mencuci tangan dengan menggunakan air dan sabun atau bahan pencuci tangan (hand sanitiser).
  2. Sentiasa mengamalkan etika batuk (cough etiquette) yang baik, iaitu menutup mulut dan hidung dengan tisu atau pelapik apabila batuk mahu pun bersin, seterusnya membasuh tangan dengan serta merta.
  3. Segera mendapatkan rawatan jika mengalami gejala jangkitan saluran pernafasan seperti demam, batuk, selesema dan / atau sakit tekak.

KKM akan terus memantau perkembangan kejadian jangkitan ini melalui segala maklumat yang diperolehi dan akan dimaklumkan kepada rakyat dari semasa ke semasa.

Sekian, terima kasih.

YB DATO’ SERI DR. ADHAM BIN BABA

MENTERI KESIHATAN MALAYSIA

15 Mac 2020 @ 5:00 petang

17.3