Press

Kenyataan Akhbar KPK 24 Mac 2020 – Sambutan Hari Tibi Sedunia 2020

Screenshot 2020-03-24 at 4.31.54 PM

Hari Tibi disambut di seluruh dunia pada 24 Mac setiap tahun sempena memperingati sejarah penemuan bakteria Mycobacterium tuberculosis oleh Dr. Robert Koch pada 24 Mac 1882. Tujuan sambutan ini dilakukan adalah untuk meningkatkan kesedaran, komitmen serta sokongan pelbagai pihak terhadap usaha-usaha kawalan dan pencegahan penyakit yang telah dilakukan di seluruh negara.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menganggarkan sejumlah 10 juta kes Tibi di seluruh dunia dengan jumlah kematian sebanyak 1.5 juta. Jumlah kes Tibi yang dilaporkan di Malaysia pada tahun 2019 adalah 26,352 kes (kadar insiden 81 setiap 100,000 penduduk) iaitu peningkatan sebanyak 2% berbanding 25,837 kes (kadar insiden 79 setiap 100,000 penduduk) pada tahun 2018. Kadar kematian Tibi pada tahun 2019 adalah 3.7 setiap 100,000 penduduk.

Tema bagi sambutan Hari Tibi Sedunia Peringkat Kebangsaan adalah ‘Masa Untuk Bertindak! Cari dan Rawat Semua Kes Tibi’. Tema ini bermaksud pihak kementerian menyeru komitmen semua pihak yang memberi perkhidmatan kesihatan berkaitan penyakit Tibi di negara ini termasuklah fasiliti kesihatan kerajaan dan swasta untuk bersama-sama  berganding bahu melakukan saringan dan rawatan awal bagi semua penyakit Tibi termasuklah kes-kes drug resistant TB (DR-TB).

Penyakit Tibi adalah penyakit berjangkit yang disebabkan oleh Mycobacterium tuberculosis dan merebak melalui udara. Selain Tibi paru-paru, organ yang lain juga boleh mendapat jangkitan Tibi seperti otak (TB meningitis), tulang (TB spine) , kelenjar (TB lymph node), usus (TB gut) dan lain-lain organ badan. Tanda-tanda penyakit Tibi paru-paru adalah batuk yang berpanjangan iaitu melebihi dua (2) minggu, demam, berpeluh waktu malam, kurang selera makan, susut berat badan dan batuk berdarah. Individu yang mempunyai simptom diminta menjalani pemeriksaan awal di klinik-klinik kesihatan dan hospital yang berhampiran.

Rawatan bagi penyakit Tibi paru-paru adalah selama enam bulan. Penyakit Tibi boleh sembuh jika pesakit mematuhi jadual rawatan yang telah ditetapkan. Kelewatan mendapatkan rawatan boleh menyebabkan komplikasi kematian. Kadar Kematian kes Tibi (case fatality rate) bagi kohort pesakit tahun 2018 adalah tinggi dan membimbangkan iaitu 11.3%.

Strategi utama Program Pencegahan dan Kawalan Penyakit Tibi adalah pengesanan awal penyakit dan memastikan rawatan diberikan dan dipatuhi sehingga sembuh supaya pesakit tidak lagi merebakkan penyakit kepada orang lain. Saringan golongan berisiko tinggi terutama pengesanan kontak rapat pesakit adalah salah satu usaha penting bagi pengesanan awal penyakit Tibi. Kementerian menyeru agar kontak yang telah dikenal pasti bagi kes Indeks Tibi tampil melakukan ujian saringan penyakit Tibi di fasiliti kesihatan yang berhampiran. Pada tahun 2019 sejumlah 177,121 kontak telah menjalani pemeriksaan saringan dan sejumlah 532 kes baharu Tibi berjaya dikesan dan dirawat.

Kementerian berharap kempen dan kesedaran mengenai penyakit Tibi dapat dihayati oleh segenap lapisan masyarakat. Komitmen yang tinggi daripada anggota kesihatan di samping kerjasama yang erat daripada semua agensi kerajaan, swasta dan Pertubuhan Bukan Kerajaaan (NGO) adalah amat diperlukan bagi mencapai hasrat Malaysia bebas Tibi menjelang tahun 2035.

 

DATUK DR. NOOR HISHAM BIN ABDULLAH

KETUA PENGARAH KESIHATAN

KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA

24 MAC 2020

Categories: Press