Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) ingin memaklumkan bahawa Minggu Imunisasi Sedunia (World Immunization Week) disambut pada 24 – 30 April setiap tahun.
Tema oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia atau World Health Organisation (WHO) bagi tahun 2020 ialah #VaccinesWork for All” atau “Vaksin berkesan untuk semua” yang bertujuan untuk mempromosikan penggunaan dan kepentingan vaksin untuk melindungi semua golongan umur dari penyakit cegahan vaksin. Tema ini juga memberi fokus kepada organisasi termasuk anggota kesihatan yang terlibat dalam pelaksanaan Program Imunisasi walau di mana pun mereka berkhidmat, dengan tujuan untuk melindungi kesihatan masyarakat tanpa mengira etnik, bangsa dan agama.
WHO juga mengiktiraf tahun 2020 sebagai International Year of the Nurse and Midwife; di mana ianya sangat bertepatan dengan peranan mereka sebagai anggota barisan hadapan yang menyumbang kepada kejayaan Program Imunisasi Kebangsaan. Mereka adalah Vaccine Champions yang menjuarai program imunisasi untuk kesejahteraan ibubapa, masyarakat dan negara. Mereka menjadi nadi kejayaan pelaksanaan Program Imunisasi.
Seperti diketahui umum, imunisasi telah terbukti sebagai salah satu daripada intervensi kesihatan awam yang paling berjaya dan paling kos efektif dalam mengurangkan kejadian termasuk kematian penyakit cegahan vaksin. Sejarah dan fakta telah membuktikan bahawa imunisasi telah menyelamatkan jutaan nyawa di seluruh dunia.
Walaubagaimanapun, dalam dua tahun kebelakangan ini, beberapa negara di seluruh dunia telah mengalami penularan wabak penyakit cegahan vaksin seperti measles (campak) dan polio. Negara Malaysia juga telah dikejutkan dengan kemunculan kes polio yang pertama pada Disember 2019 setelah 27 tahun Malaysia bebas daripada penyakit tersebut. Sehingga kini, terdapat empat (4) kes polio yang disahkan melalui ujian makmal serta dua (2) kes polio compatible yang menepati ciri klinikal penyakit polio di mana kesemua kes ini berlaku di negeri Sabah.
Bagi kes measles pula, terdapat penurunan kes measles dengan 1,077 kes pada tahun 2019 berbanding 1,958 kes pada tahun 2018 di seluruh Malaysia. Namun, kes kematian meningkat dengan 15 kematian pada tahun 2019, berbanding enam (6) kematian pada tahun 2018. Sebanyak 915 kes Pertussis (batuk kokol) dicatatkan dengan 20 kematian pada tahun 2019, meningkat daripada 892 kes dengan 22 kematian pada tahun 2018. Manakala sebanyak 16 kes difteria telah dicatatkan dengan enam (6) kematian pada tahun 2019 berbanding 18 kes dengan enam (6) kematian pada tahun 2018. Majoriti kes-kes ini tidak menerima suntikan vaksin. Terdapat juga kes berlaku di kalangan bayi yang belum layak iaitu belum sampai umur untuk menerima suntikan vaksin.
Penyampaian Perkhidmatan Imunisasi di Malaysia
Dalam keadaan negara Malaysia berusaha sedaya upaya untuk menyekat penularan wabak COVID-19 dan dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), KKM menyedari risiko gangguan dalam program imunisasi dan penurunan jumlah kedatangan bayi dan kanak-kanak ke klinik kesihatan untuk tujuan imunisasi. Ini adalah disebabkan keperluan mematuhi amalan penjarakan sosial serta kebimbangan masyarakat kepada jangkitan virus COVID-19.
Apa yang paling dirisaukan adalah kelewatan penerimaan imunisasi boleh meningkatkan risiko berlakunya peningkatan pendedahan bayi dan kanak kanak kepada penyakit cegahan vaksin seperti campak, polio dan lain-lain.
Hal ini boleh menyebabkan berlakunya peningkatan wabak penyakit cegahan vaksin yang juga akan mengancam nyawa jika tidak dibendung.
Justeru, KKM ingin menegaskan bahawa program imunisasi di semua fasiliti kesihatan adalah berjalan seperti biasa. Ibubapa disarankan agar menepati jadual imunisasi dan tarikh temujanji yang telah ditetapkan oleh anggota kesihatan. Elakkan daripada keciciran imunisasi untuk bayi dan kanak-kanak.
Ibubapa yang telah pulang ke kampung hendaklah membuat temujanji untuk imunisasi bayi/anak di mana-mana klinik kesihatan atau klinik swasta yang berdekatan. Dalam usaha kita untuk memutuskan rantaian COVID-19 dengan mematuhi saranan KKM, imunisasi kanak-kanak perlu diteruskan untuk mengekalkan imuniti kelompok yang tinggi.
Sempena Minggu Imunisasi Kebangsaan pada tahun ini, KKM ingin menyampaikan penghargaan kepada individu dan organisasi yang telah menyumbang kepada kejayaan program imunisasi, terutama kepada anggota kesihatan barisan hadapan (frontliners) yang terlibat dalam pemberian vaksin. Begitu juga, anggota masyarakat yang menyokong program imunisasi dengan menerima vaksin yang secara tidak langsung telah menyumbang kepada usaha KKM untuk melindungi kesihatan masyarakat tanpa mengira umur walau di mana jua anda berada.
“#VaccinesWork for All”
(“Vaksin berkesan untuk semua”)
DATUK DR. NOOR HISHAM BIN ABDULLAH
Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia
24 April 2020
Categories: Press
You must be logged in to post a comment.